Assalamualaikum anak-anak semua...
Setiap hari apabila kita membuka mata di subuh hari, perkara pertama yang perlu kita fikirkan ialah SOLAT SUBUH.
Kewajiban yang satu ini pastinya amat payah untuk dilaksanakan terutama apabila mimpi indah sedang membuai dan mata sungguh enak untuk dipejamkan. Tahukah anak-anak semua bahawa pada masa itu, syaitan sedang bermain-main dipersekitaran kita. Menyiramkan air kedinginan dan mendatangkan mimpi indah serta menindih tubuh kita agar berat untuk bangun. Macam-macam strategi licik syaitan untuk membuatkan anak-anak Adam pada waktu itu untuk terus lena di atas katil masing-masing sehinggalah matahari naik dan SUBUH sudah berlalu... maka rugilah anak-anak Adam yang terpedaya dengan tipu daya ini.
Mari anak-anak bonda yang baik, cantik dan soleh/ solehah...
Bangunlah di subuh hari. Jom kita menuju ke Taman Syurga yang telah ditetapkan oleh Allah SWT bagi orang yang tunduk dan sujud kepadanya. Kita bersyukur kerana dihidupkan pada pagi ini dan boleh melaksanakan tugas seharian serta diberi peluang untuk terus beribadat mengutip rezeki dan bekalan untuk menuju alam akhirat.
Allah SWT berfirman dalam Surah al-hadid ayat 21 yang bermaksud;
"Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik) untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar."
Maha Pengasihnya Allah SWT yang sentiasa memberi nikmat yang melimpah ruah sepanjang hamba-Nya tinggal di dunia ini. Malah jika hendak dikira, pasti seluruh alam dan kejadiannya tidak cukup untuk menjadi alat untuk mengira.
Oleh itu anak-anak semua,
Jom kita menuju ke Taman Syurga Ilahi yang sangat indah, luas dan selesa serta penuh dengan kenikmatan yang tidak tergambar di mata, dan di dengar oleh telinga. Nikmat syurga yang disediakan khas untuk hamba-hamba Ilahi yang taat dengan perintah-Nya serta hanya menyembah-Nya sebagai Tuhan yang diyakini.
Tetapi anak-anak bonda,
Bagaimana hendak menuju ke Taman Syurga yang indah itu?
Yakini bahawa Allah melihat apa yang kita buat
Yakini bahawa kita hidup kerana nikmat dari Allah SWT
Yakinilah bahawa segala amal kita walau sekecil zarah akan tetap membawa kita ke syurga Ilahi
Yakinilah bahawa selagi kita tidak menyirikkan Allah SWT selagi itu dosa kita akan diampunkan
Inilah antara janji-janji Allah, yang tidak pernah didustakan
Jom anak-anak bonda!
Jom kita ke Taman-taman Syurga
Bermula dengan pagi ini dengan bangun SOLAT SUBUH...