-->
Taman-taman syurga

TIPS DARI BONDA

SELAMAT DATANG KE TAMAN SYURGA

Assalamualaikum anak-anak bonda yang dikasihi,
Hidup ini ibarat roda. sesekali kita di atas sesekali kita di bawah. Tetapi Allah SWT sentiasa memberi kita harapan dan cahaya serta peluang untuk memperbaiki diri. Walau bagaimanapun situasi kita, yakinlah bahawa JANJI Allah SWT itu benar. Jadi, jangan risau dan khuatir jika kita pernah terjerumus ke lembah kejahatan, peluang taubat terbuka luas, seluas langit yang tidak bertepi dan selagi kita tidak mensyirikkan Allah SWT, pasti syurga itu menjadi milik semua umat Islam. Di laman ini, bonda akan kemukakan tips-tips bagaimana mahu memperbaiki diri agar mampu menjadi insan yang sentiasa dalam redha Ilahi.

Monday, April 18, 2022

TADABBUR AL-QURAN SECARA DALAM TALIAN

 

Surah al-Naba’ ayat 1- 20

Surah pertama dlm juzuk 30. Di sebut juga juzuk Amma.

An-Naba’ ialah berita yang sangat besar: 1 kiamat 2: kebangkitan semula. Disebut berulang2 berkaitan dengan kiamat dan kebangkitan semula.

Namun org2 musyrikin mekah pelik, tidak percaya bahawa yang mati akan hidup semula. Allah murka dgn ketidakpercayaan itu.

1-      1- 5 Allah murka dengan mengherdik org2 musyrikin – saling bertanya2 ttg kiamat sdgkan tulang belulang dah hancur.

2-      Tak percaya dan mengejek Nabi SAW yg dianggap tidak betul/ gila.

3-      4 dan 5 ulang perkataan saya’lamuun – ancaman hari kiamat dan hari kebangkitan…

4-      Ayat 6 – 16 – Allah beri bukti berkaitan dgn nikmat2 yang Allah berikan kpd manusia. Bumi sebagai hamparan, gunung sebagai pasak. Manusia berpasang2an. Jadikan tidur/ malam utk berehat. Siang utk bekerja/ cari rezeki- cantiknya aturan Allah.

5-      Allah jadkan langit 7 lapis, tidak bocor, tiada tiang tetapi kukuh.

6-      Dijadikan matahari sebagai pelita yang menerangi muka bumi ini.

 

Al-Quran adalah cahaya yang membimbing manusia ke jalan kebenaran. Membacanya adalah pahala. Membacanya memberi nyawa kepada rumah tangga. Membacanya hati akan terpimpin. Begitulah kenikmatan membaca al-Quran yang menjadi mukjizat kepada seluruh manusia melalui Rasulullah SAW.

              Lantaran itu, 8 bersaudara perempuan memiliki aktiviti menarik setiap pagi dengan meningkatkan kemampuan, kemahiran dan kefahaman membaca al-Quran bersempena berhadapan dengan normal baharu pandemic Covid 19. Walau berjauhan, mereka memulakan pagi untuk berkomunikasi melalui al-Quran. Seawal jam 7 pagi, 8 bersaudara bersedia dengan al-Quran dan telefon bimbit masing-masing dan Ketua kumpulan, Nor Rafeah akan menghubungi ahli kumpulannya yang terdiri dari kakak yang sulung, Noorlaila di Besut, Trengganu, Nor Azwanah di Sabak Bernam, Nor Sobah di Tanjung Karang, Selangor, Nor Raudah di Puchong, Selangor, Noriah di Putrajaya, Nor Fadzilah di Ulu Langat dan Mak Cik mereka, Datin Siti Zainab di Bangi.

“Kami memulakan pagi dengan al-Quran mudah-mudahan mendapat keberkatan dalam hidup,” jelas guru Quran mereka, Noriah yang berpengalaman dalam pengajaran al-Quran semasa bertugas sebagai guru di Jabatan Agama Islam Selangor dan Jabatan Agama Islam Wilayah.



             

 

Posted by NOR RAUDAH HJ SIREN at 12:19 AM 0 comments

COVID 19 MENJENGOK DUNIA (CERPEN UMUM)

 Tok Mat terbongkok-bongkok membersihkan pangkal pisang yang berselirat dengan daun-daun yang sudah kering. Dipangkasnya perlahan-lahan dengan tenaga tuanya. Beberapa pokok yang sudah matang ditebang dan dipangkas tandan buahnya. Pokok yang sudah tumbang dicincang-cincang dan diletakkan di sekeliling anak-anak pokok pisang sebagai baja. Menanam pokok pisang  mudah. Sekali tanam, hasilnya boleh dirasa selagi masih berhasil dan dijaga. Baja organik daripada pokok yang sudah mati pula lebih selamat berbanding baja kimia.

Sesekali Tok Mat menyeka peluh di dahinya dengan hujung baju kemeja. Sesekali dia mengipas tubuhnya dengan topi kebunnya. Kebunnya tidak luas. Hanya dengan dua ekar setengah itulah ditanamnya dengan pelbagai jenis pisang - ada Pisang Tanduk, Pisang Abu atau Pisang Nipah, Pisang Emas, Pisang Rastali, Pisang Awak, Pisang Raja, Pisang Berangan, dan Pisang Nangka. 1500 pokok semuanya. Semua jenis-jenis pisang itu memang dihafal dan difahami tabiatnya. Bukan sahaja buah pisang dapat dijual, bahkan daun dan jantung pisang juga boleh dijual. Dia juga tahu yang mana daun pisang yang boleh digunakan dan yang mana daun pisang yang tidak boleh digunakan, yang mana jantung pisang yang boleh dimakan dan yang mana jantung pisang yang tidak boleh dimakan. Kalau tidak kenal, terambil jantung pisang yang salah, alamat kelat dan pahit rasanya.

 “Tuan Haji, sekarang ini musim penyakit Covid 19!” Cikgu Arsyad, anak muda yang menjadi guru di kampung itu menegur Tok Mat yang sedang tekun mengumpul pisang-pisang yang sudah siap disisir ke raga-raga besar untuk diambil oleh Fauzi yang menjadi peraih hasil kampung. Fauzi akan menjualnya di Pasar Tani. Tok Mat memisahkan raga-raga mengikut jenis pisang. Pisang yang sudah disisir bersikat-sikat akan dibungkus dengan surat khabar. Perdana Menteri telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan selama dua minggu dalam Televisyen bermula 14 Mac dan mungkin akan bersambung sehingga lepas Hari Raya Aidilfitri secara berfasa. Anaknya, Solehah dan Imran sempat pulang bercuti semester. Universiti tutup, kata mereka.

`“Kita kena duduk di rumah sahaja Tuan Haji. Hendak putuskan rantaian jangkitan itu!” Cikgu Arsyad menghentikan enjin motosikalnya. Dia berdiri jauh dari Tok Mat sebagai langkah berjaga-jaga. Biasanya, bila berjumpa, dia pasti menyalami Tok Mat sebagai seorang yang dihormati di kampung itu. Tetapi arahan untuk tidak bersalam, kena dipatuhi.

“Bahan tani ni kalau tidak dituai, dia membusuk. Sayang dan membazir. Lagipun Pak Cik mengadap pokok pisang je. Pokok pisang boleh kena Covid juga ke? Pekerja semua, Pak Cik sudah beri cuti. Cikgu ambillah pisang yang Cikgu hendak. Boleh makan dengan keluarga.” Tok Mat menunjuk deretan pisang yang sudah siap disisir. Cikgu Arsyad mengangguk-angguk sambil mengelus-ngelus janggutnya yang sejemput sambil membetulkan topeng mukanya. Hatinya girang, dapatlah petang ini keluarganya makan pisang goreng panas.

“Malam tadi Kak Peah dibawa ambulan ke hospital!” Cikgu Arsyad yang baharu berusia 30 tahun itu, mengambil pisang tanduk dan pisang emas yang sudah disisir oleh Tok Mat dan memasukkannya ke raga motosikal Honda C90nya. Cikgu Arsyad menghulurkan RM20.00 kepada Tok Mat. Tetapi segera ditolak oleh Tok Mat. Lagipun, sejak Perintah Kawalan Pergerakan ini, Mak Kiah, isterinya tidak lagi menjual pisang goreng di gerai depan rumah mereka. Banyak buah pisang yang tidak terjual. Itupun Tok Mat sudah banyak sedekah kepada jiran tetangga.

“Kak Peah sakit apa, Cikgu? Minggu lepas sihat je tolong Mak Kiah kamu goreng kerepek. Tapi dengar juga sesekali dia batuk dalam topeng muka dia. Mak Kiah kamu suruh balik berehat.” Tok Mat memandang ke arah langit yang sudah mula mendung.

“Aduh, bahaya tu Tuan Haji. Anak Kak Peah, Abang Fadzil baru balik tabligh. Takut terkena jangkitan Covid 19. Tuan Haji dan keluarga kena pergi hospital juga buat saringan.” Cikgu Arsyad segera menghidupkan enjin motosikalnya dan berlalu. Dia hanya mengangkat tangan kepada Tok Mat.

Tok Mat pun segera berkemas dan membawa raga yang penuh dengan pisang ke dalam motosikal roda tiganya. Baru sebentar tadi Fauzi menelefonnya tidak dapat mengambil pisang Tok Mat. Pasar Tani kena tutup, katanya. Mengangkut 5 buah raga pisang yang sarat dengan isi amat menyukarkan Tok Mat mengendalikan motosikal roda tiganya. Tok Mat tiada lori, sebab selama ini, Fauzi yang memasarkan pisang-pisangnya. Elok rezeki dibahagi-bahagikan agar semua menikmatinya, itulah prinsip hidup Tok Mat.

            “Banyaknya buah pisang ni. Nak buat apa ayah? Abang Fauzi, tak beli ke?” Imran mengangkat raga-raga yang masih penuh berisi pisang. Tok Mat melabuhkan punggungnya ke kerusi di kilang tempat Mak Kiah dan Solehah sedang sibuk menggoreng kerepek pisang sementara dua orang pekerja yang lain sibuk membungkus kerepek yang sudah sejuk. Dia mengipas-ngipas dadanya dengan topi kebunnya. Sesekali nafasnya turun naik. Tenaga tuanya sudah dirasai. Dengan usia 60 tahun, Tok Mat sudah sering kelelahan bila ke kebun. Nasib baik dia ada tiga orang pekerja yang rajin dan amanah melaksanakan tugas menguruskan kebun pisangnya. Sejak perintah kawalan pergerakan (PKP), pekerjanya dicutikan dengan bergaji. Namun bila dia perlukan mereka, Tok Mat akan menyuruh mereka datang membantunya di kebun.

“Tidak mengapa ayah. Bila pisang ni dah masak, Leha nak buat biskut, kuih, kek dan macam-macam lagi. Kita masih boleh jual di sekitar kampung ni. Jual secara pospun boleh! Lagipun Ramadhan dah nak tiba ni” Solehah membelek-belek pisang di raga yang sudah diturunkan oleh Imran. Tok Mat mengurut dadanya. Dia bersyukur memiliki anak-anak yang kreatif dan inovatif. Solehah memang rajin menolong Mak Kiah bila balik bercuti. Pelbagai resepi dicubanya. Tidak sia-sia dia mengambil jurusan sains pemakanan di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Solehah juga sedang menyiapkan kajian sarjana tahun akhirnya, mencipta produk makanan sihat untuk bayi. Dan dia memilih pisang sebagai bahan utama. Macam-macam jenis pisang dicubanya dan dicampur dengan beberapa bahan selamat untuk bayi agar tahan lama dan sedap dimakan. Pelbagai pes makanan bayi dibuat termasuk makanan bayi berbentuk biskut.  Pernah dia mencuba membuat pes pisang digabungkan dengan kurma. Rasanya sedap dan tahan seminggu dalam peti sejuk. Kini, dia memikirkan bagaimana untuk memastikan pes itu boleh dipasarkan dan tahan lebih lama. Pensyarahnya, Profesor Dr Mahmud mencadangkannya Pembungkusan Atmosfera Terubah Suai (MAP) untuk teknologi pembungkusan makanan sedia untuk dimakan. Makanan akan tahan 4 – 6 minggu.

“Musim PKP ni, Leha boleh siapkan ujikaji Leha di rumah dengan pisang-pisang ini. Nanti boleh minta bayi-bayi di kampung ini cuba rasa. Harap-harap mereka suka. Pisang ini berkhasiat, ayah, emak. Memudahkan sistem pencernaan terutama bayi.” Solehah membelek-belek pisang emas dan pisang berangan yang sudah agak ranum di atas meja. Peralatan pembungkusan akan dibantu oleh pensyarahnya kerana teknologi tersebut ada di makmal universitinya.

“Orang kampung ni, beri pisang lenyek je, Leha.” Mak Kiah meneruskan kerja-kerja menggoreng. Mukanya merah dan peluh sudah mengalir di dahinya yang sudah berkedut sambil membetulkan tudungnya yang senget. Tangannya banyak berparut hitam di sana sini kesan percikan minyak panas menggoreng kerepek dan pisang. Tetapi dia tidak kisah. Tok Mat masih sayang dan setia dengannya. Semasa mula-mula berkahwin, mereka sudah merancang pembangunan ekonomi keluarga mereka. Keputusan membuka kebun pisang dalam tanah pusaka arwah ibu bapa Tok Mat memang tepat. Tok Mat tidak bersekolah tinggi tetapi dia mahir dalam berkira-kira.

            Mak Kiah dan Tok Mat bersyukur dengan rezeki yang Allah kurniakan. Mereka juga tidak lupa menabung. Bagi mereka, simpanan mesti ada sebagai persiapan jika berlaku sebarang musibah. Mereka mengambil iktibar dari kisah Nabi Yusuf a.s yang menyimpan untuk menghadapi kemarau 7 tahun setelah menghadapi 7 tahun subur. Walau bagaimanapun, mereka tidak lupa untuk membayar 2.5% daripada zakat pendapatan dan 2.5% zakat simpanan di samping  bersedekah sebagai cara menyucikan pendapatan mereka. Duit simpanan dibuat akaun asing-asing. Satu untuk Tok Mat dan satu untuk Mak Kiah. Untuk kegunaan harian mereka membuka akaun khas dengan nama Tok Mat. Disisihkan juga simpanan untuk dua orang anaknya, Imran dan Solehah sejak mereka berdua lahir. Mereka hidup sederhana. Mereka sudah berjanji untuk tidak hidup mewah. Makan pakai sekadarnya. Latihan itu juga diberikan kepada anak-anaknya. Anak mereka Imran dan Solehah pula tidak perlu membuat pinjaman pelajaran. Alhamdulillah setakat ini mereka mampu membiayai pembelajaran mereka.

“Pisang lenyek sebenarnya lebih bagus mak, sebab belum dicampur dengan macam-macam. Tetapi di bandar tu, kadang susah nak dapat bekalan pisang atau ibu bapa mereka sibuk bekerja. Tidak sempat hendak memproses makanan untuk bayi mereka. Makanan segera yang berkhasiat inilah yang mereka cari.” Solehah menjelaskan sambil mengangkat kerepek pisang Tanduk yang sudah garing kekuningan dan mematikan api gas yang membara dari mesin penggoreng kerepek ciptaan Zull Design Autotronic, satu-satunya pencipta barangan elektronik bangsa Melayu yang sudah banyak mencipta peralatan untuk membantu peniaga-peniaga produk IKS. Mesin penggoreng itu boleh memuatkan sehingga 10 kilo pisang sekali goreng.

Imran pula membersihkan mesin penghiris kerepek yang dibeli dari pencipta yang sama. Kedua-dua mesin itu merupakan bantuan dari kerajaan negeri Selangor untuk peniaga-peniaga IKS.  Imran juga bercita-cita untuk mengikut jejak langkah orang yang hebat ini. Dia memilih bidang Robotic di UTM dan juga belajar secara hujung minggu bidang elektronik. Dia masih tahun 2, tetapi sudah memiliki visi dan misi hidupnya. Ke mana tidak tumpah kuah, kalau tidak ke nasi. Tok Mat dan Mak Kiah pula tidak menghalang semua cita-cita dan hasrat anak-anaknya.

 

Mak Kiah mengibas pakaiannya dan membuka Apron lalu menggantungnya di tiang di sudut kilang. Dia masuk ke dapur rumahnya dan membuatkan satu teko air kopi o kampung untuk keluarganya. Kek Pisang yang dibakar oleh Solehah malam tadi dipotong-potong untuk juadah minum petang keluarganya. Mak Kiah membawa juadah itu ke kilang di sebelah rumahnya dan diletakkan di atas meja sementara Solehah dan Imran mengemas dan membersihkan tempat kerja.  Angin petang sepoi-sepoi bahasa menyamankan. Hujan renyai-renyai mula turun.

 “Kita kena pergi hospital!” Tiba-tiba Tok Mat bersuara. Semua mata memandangnya. Mak Kiah yang sedang menuang kopi o hitam pekat ke dalam cawan, terhenti seketika. Dia duduk dan memandang tajam wajah Tok Mat. Wajah yang sudah berkedut dengan rambut yang sudah memutih. Itulah sifatnya. Jika suaminya mula bercakap, dia akan diam untuk mendengar, walau di hatinya meronta-ronta untuk mendengar cerita selanjutnya, sementelah suaminya amat berhati-hati jika berkata-kata. Imran dan Solehah segera menghentikan pekerjaan mereka dan turut duduk di kerusi untuk minum bersama. Pekerjanya, Eton, Mona dan Kak Ju juga turut duduk bersama di meja tersebut untuk menikmati minum petang sebelum pulang ke rumah.

 “Kak Peah dan keluarganya demam, batuk-batuk dan sakit kerongkong. Malam tadi ambulan dah bawa mereka pergi ke hospital.” Imran sedikit gugup mendengar cerita Tok Mat. Solehah mula resah. Mak Kiah masih terpinga-pinga. Dia memandang Eton dan Kak Ju. Mereka saling berpandangan sambil mengerutkan dahi. Mak Kiah teringat Kak Peah yang selalu membantunya menggoreng pisang. Memang sejak akhir-akhir ini, Kak Peah nampak tidak sihat. Sudah seminggu dia merehatkan Kak Peah, sejak sebelum PKP lagi. Suaminya, Pak Samad juga sudah uzur dan satu-satunya anak lelaki mereka pula selalu keluar kampung mengikuti gerakan tabligh.

            Hidup sebagai petani sejak muda bukanlah mudah. Memerlukan tulang empat kerat. Jika rajin adalah hasilnya, adalah bahagiannya untuk menghasilkan sumber pendapatan. Pak Samad tiada kebun, dia menghabiskan usia mudanya dengan mengambil upah mengait kelapa. Bila sudah uzur, dia tidak mampu bekerja lagi. Kakinya lumpuh setelah terhempap setandan buah kelapa yang meluncur dari galah kaitnya. Anak lelakinya Fadzil dihantar bersekolah tahfiz, tetapi tidak tamat dan bekerja membantu Tok Mat menguruskan kebun pisang. Sesekali dia akan mengikuti gerakan tabligh di Sri Petaling. Akhlaknya cukup baik dan menghormati orang tua. Sifat amanahnya juga menjadi harapan Tok Mat untuk menguruskan kebunnya.

Tok Mat beruntung kerana memiliki tanah pusaka. Dengan hasil pisang itulah, Tok Mat menyekolahkan anaknya Imran dan Solehah hingga masuk ke Universiti. Isterinya Mak Kiah pula, rajin mempelbagaikan hasil buah pisang. Setiap pagi selepas memasak untuk juadah sarapan dan tengahari, Mak Kiah akan menggoreng kerepek pisang. Pisang Tanduk, pisang Nangka dan pisang Abu amat sesuai dibuat kerepek. Beratus kilo kerepek pisang dihasilkan dengan bantuan Kak Peah, Eton, Kak Ju dan Mona yang mahu menambah pendapatan. Ada juga pekerjaan untuk orang kampungnya. Peraih-peraih akan datang bersama lori-lori mereka setiap minggu untuk mendapatkan tempahan masing-masing. Ramai peraih yang datang dari jauh, Kedah, Johor, Kelantan, Pahang dan sebagainya. Kerepek Mak Kiah terkenal di seluruh Malaysia.

             “Imran, Solehah, Kiah. Ayah nak keluarkan 1/3 dari simpanan kita untuk bersedekah kepada penduduk kampung. Apa pandangan kamu semua?” Tok Mat memandang wajah anak-anak dan isterinya sambil menghirup kopi hitam pekat kegemarannya. Tok Mat bimbang, ada keluarga di kampung itu yang kebuluran kerana tidak dapat keluar bekerja. Hidup sebagai petani yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Jika PKP ini berlanjutan, tentu kehidupan mereka semakin susah. Imran dan Solehah mengangguk. Mak Kiah tersenyum bangga. Ada juga bahagian keluarganya yang boleh diinfakkan untuk orang kampung. Eton, Kak Ju dan Mona mengangguk-angguk gembira. Mereka bangga mempunyai majikan yang pemurah. Selama ini, gaji mereka tidak pernah kurang, malah setiap tahun mereka akan diberi bonus. Ringan beban apabila anak-anak mula buka sekolah.

Tok Mat membacakan dua potong maksud hadis untuk tatapan keluarga dan pekerjanya petang itu. Rasulullah s.a.w telah bersabda, “Segeralah bersedekah, sesungguhnya musibah tidak dapat melintasi sedekah” (HR : at-Thobrani & Baihaqi) dan Dari Anas, ia berkata : Rasulullah s.a.w bersabda “ Sesungguhnya sedekah itu memadamkan kemarahan Tuhan dan mencegah kematian yang buruk.” (HR Thabrani, dia menghasankannya dan disahkan oleh Ibnu Hiban).

Keesokannya, pagi-pagi lagi Tok Mat sudah ke bank dan mengeluarkan sebanyak RM100 ribu dari simpanannya. Sekembalinya dari bank, setelah membayar 2.5% zakat simpanan kepada imam masjid, dia segera menyerahkan sedekahnya kepada orang kampung dengan bantuan Imran. Orang kampung yang menerima bantuan Tok Mat menangis-nangis hiba dan bersyukur. Ada yang sudah dua hari terputus bekalan wang kerana tidak bekerja. Sedekah Tok Mat melegakan ramai penduduk kampung. Semuanya mendoakan kesejahteraan Tok Mat sekeluarga.

 Selepas solat Zuhur berjemaah, dengan solat sunat taubat dan doa taubat yang agak panjang, Tok Mat membawa keluarganya ke hospital untuk membuat saringan Covid 19. Pada hari itu juga, dikhabarkan Pak Samad meninggal dunia kerana Covid 19 dan Kak Peah sedang sakit tenat. Anaknya Fadzil masih dalam kuarantin. Segala-galanya amat memberi kesan kepada penduduk kampung. Buat kali pertama orang kampung tidak dapat melaksanakan tugas Fardhu Kifayah kepada jenazah kerana segala-galanya diuruskan oleh pihak hospital termasuk urusan pengkebumiannya. Orang kampung juga turut berduyun-duyun membuat saringan terutama yang pernah berhubung dengan keluarga Kak Peah. Sesungguhnya kematian itu pasti, tetapi selagi ajal belum tiba, umat Islam wajib berusaha menyelamatkan nyawa mereka. Dan hari itu juga, Solat Jumaat di seluruh negara tidak boleh dilaksanakan. Ya Allah, semoga bencana penyakit ini akan menghapuskan dosa-dosa kami.






Posted by NOR RAUDAH HJ SIREN at 12:16 AM 0 comments

KEUTAMAAN ILMU AKHIRAT DI SAMPING ILMU DUNIA




Pendidikan merupakan aspek yang paling penting dalam kehidupan manusia. Melalui pendidikan, seseorang akan dapat mengubah corak pemikiran, corak kehidupan, kerjaya dan ketakwaan kepada Allah SWT yang Maha Pemberi Ilmu. Melalui ilmu juga, manusia akan terhindar dari kejahilan dan kebodohan serta memahami konsep dan peranannya sebagai manusia yang diciptakan oleh Allah SWT. Allah SWT telah berfirman dalam Surah al-Fathir ayat 28,

“Dan demikian pula di antara manusia, makhluk bergerak yang bernyawa, dan haiwan-haiwan ternakan yang bermacam-macam warna dan jenisnya. Di antara hamba-hamba Allah yang takut kepada-Nya hanyalah para ulama. Sungguh, Allah Maha Perkasa, Maha Pengampun.”

Maksud ulama dalam ayat di atas adalah mereka yang mengetahui dan memahami kebesaran Allah dan kekuasaan-Nya. Dengan ilmu, seseorang itu akan lebih memahami hakikat penciptaannya dan dapat melihat kuasa dan kebesaran Allah sebagai zat yang Maha Pencipta sehingga berasa takut untuk melanggar perintah-Nya.

Islam juga telah mengangkat darjat orang berilmu sehingga dibezakan antara orang berilmu dengan yang tidak berilmu sebagaimana disebut dalam Surah al-Mujadalah ayat 58, Allah SWT. berfirman,

“Wahai orang yang beriman! Apabila dikatakan kepadamu, “Berilah kelapangan di dalam majlis-majlis,” maka lapangkanlah, nescaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan, “Berdirilah kamu,” maka berdirilah, nescaya Allah akan mengangkat (darjat) orang yang beriman di antara kamu dan orang yang diberi ilmu beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui terhadap apa yang kamu kerjakan.”

Ayat tersebut merupakan janji Allah SWT terhadap orang yang berilmu untuk meninggikan darjat orang yang beriman dan orang yang berilmu. Darjat orang yang berilmu akan terangkat, sama ada di hadapan Allah SWT mahupun di mata manusia. Malah dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim menyebut, dari Mu’awiyah, Rasulullah SAW. bersabda :

“Barang siapa yang Allah kehendaki mendapatkan semua kebaikan, nescaya Allah akan memahamkan dia tentang ilmu agama.”

              Kesemua dalil yang dikemukakan ini berkaitan dengan ilmu agama. Lantaran itu, ilmu agama merupakan ilmu yang utama yang perlu didahulukan berbanding ilmu-ilmu yang lain. Namun, adakah kita sebagai umat Islam hanya perlu menekankan ilmu agama dan mengkesampingkan ilmu-ilmu duniawi?

              Ilmu agama adalah ilmu yang membolehkan kita memperolehi kehidupan yang baik di akhirat kelak. Ia merupakan ilmu yang menjadi bekalan untuk dibawa ke akhirat sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, Dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda,

“Jika seseorang meninggal dunia maka terputuslah segala amalnya, kecuali tiga hal. Sedekah jariyah, ilmu yang bermanfaat dan do’a anak yang soleh atau solehah.” (HR. Muslim)

              Namun, bagi kehidupan di dunia, ilmu keduniaan juga perlu dipelajari agar manusia mampu menyelesaikan permasalahan dunia seperti perkara berkaitan dengan pentadbiran, sumber manusia, geografi, ilmu sains, matematik, ilmu bahasa, kejuruteraan, ilmu perekaan, binaan, perubatan, astronomi, ilmu pendidikan dan sebagainya. Lalu, bagaimana ada yang berpendapat ilmu dunia itu tidak penting untuk anak-anak mereka sehingga meninggalkan terus ilmu dunia?  Apakah mempelajari ilmu-ilmu tersebut menjadi tidak berpahala atau perbuatan sia-sia?

              Islam melihat ilmu dunia sebagai fardhu kifayah yang perlu dipelajari bagi kemudahan manusia meneruskan kehidupan di dunia ini. Hal ini kerana ilmu itu adalah ilmu yang amat diperlukan oleh manusia. Jika tiada yang mempelajari ilmu perubatan, bagaimana manusia mahu menjaga kesihatan dan mengatasi masalah kesihatan mereka? Jika tiada ilmu perniagaan, bagaimana manusia mahu melebarkan perniagaan di muka bumi ini dengan jayanya bagi membekalkan barang-barang keperluan manusia? Jika tiada ilmu kejuruteraan, bagaimana manusia mahu membina bangunan-bangunan untuk berteduh dan jalan-jalan yang selesa? Siapa yang tidak kenal Ibnu Sina, seorang ulama tersohor hingga kini, tetapi pada masa yang sama memiliki ilmu perubatan yang tinggi sehingga ilmu perubatannya turut dijadikan rujukan di dunia Barat.

              Oleh itu, bagi ibu bapa yang memilih untuk anaknya bersekolah yang hanya memfokus dari aspek keagamaan bukanlah suatu kesalahan andainya tidak menolak ilmu dunia kepada anak-anak mereka. Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Qasas ayat 77,

Dan carilah apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) di negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak akan menyukai orang yang berbuat kerosakan. 

Ayat tersebut amat jelas menerangkan bahawa keperluan umat Muslim menumpukan kebahagiaan di akhirat, walaupun begitu kita juga tidak boleh melupakan atau mengabaikan begitu saja kebahagiaan di dunia. Hal ini kerana dengan ilmu dunia, manusia akan mampu mengurus dunia dengan lebih baik dan mampu mencari jalan terhadap kerosakan yang berlaku di muka bumi ini hasil tangan manusia sendiri.

Kesimpulannya, ilmu akhirat dan ilmu dunia kedua-duanya sama penting dan saling diperlukan dalam meneruskan kehidupan di dunia dan di akhirat. Diperlukan di dunia kerana di situ kita mampu meneruskan kelangsungan hidup agar keselesaan dan kebahagiaan kehidupan di dunia memudahkan manusia mengumpul bekalan untuk kehidupan abadi di akhirat kelak.

Posted by NOR RAUDAH HJ SIREN at 12:11 AM 0 comments

TIKAR MENGKUANG NENEK (CERPEN KANAK-KANAK)

 Aku menatap sejadah mengkuang pemberian nenek. Sejadah yang disayangi dan sering digunakan untuk solat di sekolah. Kawan-kawan suka melihat sejadahku. Cantik dan sejuk. Anis teringat saat indah bersama nenek ketika menganyam tikar tersebut.

Nenek pagi-pagi lagi sudah ke kebun. Dia membawa sebilah parang panjang dan memakai sarung tangan. Aku segera mengejar nenek yang berjalan perlahan dengan badan sedikit bongkok. Sesekali batuknya mengokol dan kahak pekat diludahkan ke rerumput. Nenek ada asthma yang tidak pernah dirawat.

“Hospital jauh. Lagipun nenek ‘dah tua. Sampai masa mati juga,” jelas nenek.

Aku termengah-mengah di sebelah nenek.

“Nenek ‘nak ke mana?” soalku sambil melambatkan langkahku, agar boleh berjalan seiring dengan nenek.

“Nenek ‘nak cari mengkuang. ‘Nak buat tikar.” Aku membulatkan mata mendengar nenek hendak membuat tikar. Aku memang suka melihat pelbagai corak tikar buatan nenek - corak Kelarai, corak Kepala lalat, corak Pelikat, corak Beras patah, corak Temose dan sebagainya. Tikar nenek berwarna-warni. Ramai yang beli.

“Nenek buatkanlah tikar satu untuk Anis.” Pujukku.

“Anis nak buat apa tikar?” Nenek mengujiku yang baru berusia 10 tahun.

“Hmm nak buat sejadah. Mesti sejuk je. Boleh tunjuk kat kawan-kawan.” Aku tersenyum lebar sambil membayangkan wajah Siti, wajah Khadijah dan wajah Chinta kawan sekelasnya.

“’Tak baik menunjuk-nunjuk. Nanti amalan kita ditolak oleh Allah,” nenek geleng kepala.

“Owh.. tapi Anis nak juga sejadah dari tikar buatan nenek. Haa, nanti kalau rindu boleh cium tikar tu?” Aku terus membuat alasan memujuk nenek.

Nenek tersenyum. Angguk. Aku melompat kegirangan.

          Nenek memakai sarung tangan dan memungkas daun mengkuang berduri. Nenek menyuruhku ke tepi takut terkena duri. Aku hanya melihat tangan nenek yang lincah menyusun daun-daun mengkuang yang sudah dipungkas. Setelah disusun, nenek bungkus di tengahnya dengan guni lalu mengikatnya dengan tali dari daun pisang yang sudah kering. Nenek pikul dan mengajak aku pulang. Aku lihat peluh nenek banyak membasahi dahi dan belakang bajunya. Sesekali batuknya mengokol lagi. Nenek meludahkan kahak pekat ke rerumput.

          Sampai di rumah, nenek letakkan daun mengkuang di atas tanah dan memotong bahagian depan dan belang sama panjang. Nenek kumpulkan kayu api dan membakarnya dengan dikelilingi oleh batu- bata agar api tidak terpercik jauh. Nenek ambil daun-daun mengkuang dan melayurkannya atas api tadi.

“Kenapa daun ni dipanggang, Nek?” Anis terus bertanya.

“Dilayur, bukan dipanggang. Supaya daun-daun ni lembut dan tahan lama. Senang hendak dilurut nanti,” jelas nenek sambil melayur daun mengkuang. Anis turut mengambil sehelai daun mengkuang dan ikut melayur seperti yang dilakukan oleh nenek.

“Jangan rapat sangat dengan api, nanti daun tu hitam terbakar,” cepat-cepat nenek angkat daun yang dipegang oleh Anis yang hampir terkena api.

Anis minta maaf di atas kecuaiannya. Nenek hanya tersenyum dan menyuruh Anis menyusun daun-daun yang sudah dilayur. Duri-duripun sudah lembut dan tidak merbahaya lagi.

          Selesai melayur, nenek bawa daun-daun ke pangkin bawah rumah. Rumah nenek tinggi bertiang. Sejuk duduk di atas pangkin bawah rumah. Nenek mula membuang duri-duri ditengah dan kiri kanan daun  menggunakan alat Jangka. Setelah siap, nenek rendamkan daun mengkuang yang sudah diikat kuat ke dalam kolam berhampiran.

“Berapa lama nak rendam ni nek?” Tanyaku, bimbang.

“Tiga hingga empat hari. Agar warnanya bertukar jadi putih.” Jelas nenek lembut sambil merenung wajahku, satu-satunya cucu yang rapat dengannya. Setiap kali cuti sekolah, dia akan bercuti ke rumah nenek. Nenek pandai buat macam-macam. Pisang salai, betik halwa, anyam tikar, anyam atap, buat bantal kekabu, menjahit pakaian, mengait, menggubah bunga dan membuat khat.

          “Jom kita pergi angkat daun yang sudah diwarnakan. Nanti Anis boleh pilih warna untuk sejadah Anis tu.” Anis membuntut langkah nenek, keriangan. Hatinya berbunga mendengar nenek menyebut sejadah untuknya.

          Anis melihat susunan daun yang berwarna warni yang sudah kering dijemuran. Anis menunjuk warna merah, hijau dan biru. Nenek mengangkat warna merah dan menyerahkan kepada Anis.

“Bawa ke pangkin tadi,” arah nenek. Nenek ambil secekak lagi daun  berwarna hijau dan secekak berwarna biru.

          Nenek menyerahkan tiga helai daun mengkuang- warna merah, hijau dan biru kepada Anis.

“Anis ikut nenek buat anyaman tikar ni,” arah nenek lagi. Anis akur. Malah hatinya gembira untuk belajar menganyam tikar. Anis keriangan mengikut langkah demi langkah yang diajar oleh nenek.

“Ini disebut kelarai empat segi. Kita buat yang senang dulu,” ajar nenek perlahan-lahan. Sesekali tangannya membetulkan anyamanku yang salah masuk. Aku begitu asyik mengikut rentak anyaman nenek.

“Kita berhenti dulu sampai sini. Nanti lepas solat zohor, kita sambung,” ujar nenek setelah kedengaran azan berkumandang dari masjid terdekat.

          Nenek amat tepat waktu solatnya. Dengan kikil batuknya, aku menjadi makmum mengikuti gerak solat nenek. Seusai salam, nenek baca doa minta kesejahteraannya dan kesejahteraan anak cucunya.

          Sudah tiga hari aku berjaya menyiapkan sejadah mengkuang. Walaupun anyamanku agak tidak kemas aku gembira kerana hasil tanganku. Sejadah yang nenek buat cantik. Buatannya amat kemas. Nenek turut menyerahkannya kepadaku. Hadiah dari nenek, katanya.

          “Anis, buat apa tu?” ibu menegurku yang asyik dengan tikar mengkuang nenek.

“Anis, rindu nenek.” Air mata mula membasahi pipiku. Kenangan bersama nenek amat membahagiakan. Sebaik sahaja tikar mengkuang siap, lelah nenek semakin teruk dan semalam nenek telah pergi untuk selama-lamanya.

“Siapa nak teruskan usaha nenek buat tikar, ibu?” Aku memandang wajah ibu dan melihat deretan mengkuang yang sudah kering berwarna-warni. Anis baru sempat belajar menganyam corak kelarai empat segi. Banyak lagi corak cantik-cantik yang dia tidak sempat belajar.

“Anis boleh belajar menganyam lagi. Cuba mahirkan yang nenek ajar tu. Lepas tu, Anis boleh tengok di internet cara menganyam tikar corak lain pula.” Ibu memujukku. Ibu membuka telefon bimbitnya dan menunjukkan Youtube yang mengajar menganyam tikar dengan pelbagai corak. Anis keriangan. Azamnya berkobar-kobar untuk belajar menganyam tikar.

kredit dari: KA-ZE: December 2011 (kaze211212.blogspot.com)



Posted by NOR RAUDAH HJ SIREN at 12:07 AM 0 comments

SENAPANG BEMBAN (CERPEN KANAK-KANAK)

Setiap hari Rabu malam selepas maghrib, Anis akan segera menyudahkan bacaan al-Quran terlebih dahulu. Tetapi harus menepati kehendak guru Quran, Ustaz Kordi. Kalau tidak lancarkan bacaan tidak boleh membaca di hadapanya. Dengan penuh kesungguhan, Anis mengulang bacaan beberapa kali agar dapat menjadi murid pertama membaca al-Quran. Alhamdulillah bacaannya lancar dan Anis dibenarkan pulang terlebih dahulu.

          Laju Anis mengatur langkah pulang ke rumah. Rumahnya dengan rumah Ustaz Kordi hanya sepelaung sahaja. Anis meninggalkan kakak dan abangnya untuk menunggu giliran masing-masing.

“Awal balik, Anis?” Anis terkejut mendengar teguran emak. Emak terkenal dengan kegarangannya. Dia tidak mahu anaknya cuai dalam pelajaran terutama mengaji al-Quran.

“Anis dah lancar, Mak. Ustaz beri balik dulu.” Anis tersenyum bangga.

“Habis kenapa tak tunggu kakak dan abang?” Lirik emak sambil menuju ke dapur.

“Ustaz dah suruh balik. Anis baliklah.” Jawab Anis selamba.

          Anis menuju ke peti televisyen sebesar 24 inci sahaja. Televisyen hitam putih. Itu sahaja televisyen yang ada. Itupun sudah mencukupi untuknya dapat menonton siri kegemarannya Siri Combat. Anis tidak sabar mendengar bintang kegemarannya Vic Morrow beraksi bersama Rick Jason.

“Hai, kamu ni Anis. Tidak padan dengan perempuan. Suka tengok cerita perang. Cerita itukan untuk anak lelaki?” tegur emak bila melihat Anis duduk berteleku mengadap peti televisyen.

“Ramai je perempuan jadi askar sekarang ni, Mak. Nanti besar, Anis nak jadi askar tapi jadi Kapten macam Vic Morrow. Tak naklah jadi askar lain. Asyik mati je.” Jawab Anis sungguh-sungguh sambil melihat aksi Vic Morrow yang sedang menyusun barisan tenteranya di medan perang melawan tentera Jerman di Vietnam.

“Hah, ambik kau… Yeay Amerika menang!” Anis bersorak kegirangan.

“Anis.. Anis dah buat emak terkejut tau tak? Kenapa Anis suka Amerika menang?” Duga emak.

“Yerlah mak. Amerikakan hero. Mestilah Anis sokong hero,” balas Anis.

“Anis tahu tak, Amerika tu jahat? Cerita ni semua propaganda.” Suara emak tiba-tiba perlahan dan ada sebak di hujungnya.

“Propaganda? Apa propaganda tu mak?” Anis yang masih berusia 10 tahun kebingungan. Hatinya tertanya-tanya kenapa tiba-tiba emaknya menangis. Dia segera mematikan televisyen dan mendekati emaknya yang sudah mengelapkan air mata dengan hujung lengannya.

“Assalamualaikum..” kedengaran suara kakak dan abangnya balik. Emak terus bergegas ke dapur dan membiarkan pertanyaan Anis. Anis menuruti langkah emaknya ke dapur. Mereka makan malam bersama. Lauk telur dadar dan sayur bayam bening dengan cecah sambal belacan. Semua makan dengan lahap sambil bercerita tentang Ustaz Kordi yang mencubit paha kakak Aisyah yang tidak lancar bacaan Qurannya.

          Lepas makan, emak menarik lengan kak Aisyah. Ada kesan kebiruan dilengannya. Disapukan minyak gamat bagi mengurangkan kesakitan anaknya.

“Kalau ibu pandai mengaji, tak payah susah-susah mengaji dengan orang lain. Lain kali Aisyah kena ulang bacaan sampai lancar. Jangan main-main,” tegur emak dengan lembut sambil mengusap lengan anaknya. Hatinya mula berasa pilu.

“Emak janganlah menangis. Aisyah ok je. Sakit sikit je. Lain kali, Aisyah baca betul-betul. Maafkan Aisyah ye, Mak.” Aisyah mula membujuk emaknya. Anis menghampiri emak dan menghulurkan tisu. Emak sambut dengan senyum kasihnya.

          Keesokannya sebaik sahaja balik dari sekolah, Anis terus mencapai pisau di dapur. Dia menuju ke belakang rumah. Dia memandang serumpun bemban dan mula memotong sebatang bemban yang sederhana besarnya. Bemban yang sudah dipotong pangkal dan hujung diseret ke bawah rumah.

“Abang Umar!” Anis mendekati abangnya yang sedang berehat lepas makan tengahari tadi.

“Tolong Anis.” Abang Umar memandang adiknya.

“Tolong apa? Dah kenapa berpeluh-peluh ni?” Abang Umar memang seorang pengasih. Dia rajin melayan adik bongsunya.

“Buatkan Anis senapang!” Abang Umar tersengih melihat telatah adiknya.

“Hmm boleh, tapi jom solat zohor dulu.” Anis kegirangan dan kali ini solat zohornya berimamkan abangnya yang sudah berusia 15 tahun.

          Selepas solat zohor, Umar dan Anis mula menyiapkan senapang keinginan Anis. Anis menunjukkan itu dan ini, agar abangnya membuat senapang seperti senapang Vic Morrow. Umar hanya mematuhi arahan adik kesayangannya.

Dia menggunakan getah untuk menyambung setiap sambungan antara bahagian badan senapang. Dan akhirnya dua laras senapang siap.

“Jom kita cari Terung pipit, buat peluru,” ajak Umar. Anis mengikuti abang Umar mencari terung pipit di kebun depan rumah.

“Emak kata cerita Combat tu propa.. propo.. eh, lupa pula,” Anis menggaru kepalanya yang tidak gatal. Terlupa dengan perkataan emaknya tempoh hari..

“Err Amerika tu jahat ke bang?” Anis bertanya lagi.

“Hmm tidak semua orang Amerika tu jahat. Tetapi merekalah antara bangsa Kristian yang memusuhi  Islam. Banyak negara-negara Islam telah musnah angkara tentera Amerika. Mereka menyebarkan propoganda kononnya mereka Polis Dunia, tetapi sebenarnya merekalah musuh paling jahat umat Islam.” Jelas Umar sambil menyepitkan tangkai terung pipit di tengah batang senapang. Getah di hujung senapang ditarik dan disangkutkan ke terung pipit.

“Hah, propaganda!” Jerit Anis tiba-tiba mengejutkan Umar sehingga tertekan picu senapang dan terung pipit melantun lalu terkena dahi Anis. Anis membulatkan matanya memandang Umar. Perit di dahi mula terasa. Anis meraba dahinya yang benjol.

“Abang minta maaf. Tidak sengaja. Anis jerit tadi, buat abang terkejut.” Umar segera menggosok dahi Anis. Hampir menitis air mata Anis menahan sakit. Tetapi hendak menjadi askar tidak boleh cengeng. Anis mesti kuat. Baru peluru terung pipit belum lagi peluru betul.

“Ini kalau peluru betul, dah berlubang kepala Anis tau bang. Abang, macam kepala arwah ayah dulu ke?.” Tiba-tiba dua beradik itu berasa sedih. Mereka teringatkan arwah ayah yang pernah menjadi pejuang negara, Kolonel Luqman. Pahlawan negara yang tumpas ketika melawan tentera Amerika semasa mempertahankan bumi Palestin, 20 tahun yang lalu. Rejimen ayah dihantar untuk membantu Palestin di sana. Semasa itu, Anis masih dalam kandungan lagi. Umar dan Aisyah masih kecil. Namun mereka tahu, arwah ayahnya adalah pahlawan negara.








Posted by NOR RAUDAH HJ SIREN at 12:03 AM 0 comments
Newer Posts Older Posts Home
Subscribe to: Posts (Atom)

Cari apa di Taman ini sayang!

PUISI KASIH BONDA

Bila seorang bonda mendekati anaknya
Senyum mulusnya penuh kasih dan rindu
Suaranya penuh hikmat dan pesanan
Belaian tangannya adalah harapan dan doa
Pelukannya adalah kesyukuran pada amanah Allah

Bila seorang bonda mengungkap bicara
ajaran kebaikan jadi pilihan
ajaran jahat jadi sempadan
di hatinya sungai mengalir jernih dan dingin
mahu melihat anak-anak berjaya
menongkah arus merentas onak
menuju redha Ilahi

Bila seorang bonda menadah tangan
doanya hanya untuk anak tercinta
"Ya Allah, selamatkan anak-anakku dari kejahatan dunia"
"Ya Allah, bimbinglah anak-anakku menuju syurga-Mu"

Kasih bonda tidak bertepi
juga tidak bertali
kasihnya sejati

Anak-anak bonda
lihatlah wajah bonda
selagi masih boleh ditatap
kerana SUATU HARI
Rindu akan merentap
Bila bonda hanya dalam kenangan...

Senarai TIPS

  • ▼  2022 (5)
    • ▼  April (5)
      • TADABBUR AL-QURAN SECARA DALAM TALIAN
      • COVID 19 MENJENGOK DUNIA (CERPEN UMUM)
      • KEUTAMAAN ILMU AKHIRAT DI SAMPING ILMU DUNIA
      • TIKAR MENGKUANG NENEK (CERPEN KANAK-KANAK)
      • SENAPANG BEMBAN (CERPEN KANAK-KANAK)
  • ►  2013 (1)
    • ►  March (1)
  • ►  2012 (5)
    • ►  August (4)
    • ►  May (1)

Nak ilmu lain, singgah ke sini!

  • Institute Dr Raudah
    PELANCARAN BUKU ANTOLOGI CERPEN KANAK-KANAK DAN ANTOLOGI CERPEN SAUDAGAR KOPI
    6 months ago
  • taman-taman syurga
    MAKNA KEJAYAAN
    13 years ago
  • PENULIS DA'IE
    PENGENALAN PENULISAN DAKWAH
    13 years ago
  • Media Cetak Dakwah
    KULIAH 1: PENGENALAN PENERBITAN MEDIA CETAK
    16 years ago
  • TEKNIK PENULISAN
    KULIAH 10: KEBERKESANAN PENULISAN ILMIAH
    16 years ago
  • SUARAKU UNTUK DA'IEKU
    kuliah 11 Penerbitan Laman Web
    17 years ago
  • gengdakwah.info - Geng Dakwah PBJJ UKM Bangi Intake 2009/2010
  • ISU-ISU MEDIA SEMASA

Siapa singgah di taman ini...

About Me

My photo
NOR RAUDAH HJ SIREN
Lahir di Sabak Bernam, Selangor. Bersekolah di Sek. Keb. Batu 38, Sabak Bernam, Selangor dan menyambung alam menengah di Sekolah Agama Menengah Tinggi, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SAMTS), Batu 38, Sabak Bernam. Selepas STPM, meneruskan pengajian ke Universiti Malaya dalam bidang Media sehingga ke peringkat Doktor Falsafah. Kini, bertugas sebagai pensyarah kanan di Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Bidang pengajaran dan kajian ialah media dakwah dan penulisan. Kini sedang mencari ilmu-ilmu dakwah dengan mengikuti pengajian jarak jauh di Fakulti Pengajian Islam, UKM, Bangi untuk mendapatkan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Dakwah dan Kepimpinan)
View my complete profile

KELUARGA BAHAGIA

KELUARGA BAHAGIA
Indahnya dalam taman syurga ini..
[close]
Picture Window theme. Powered by Blogger.