-->
Taman-taman syurga

TIPS DARI BONDA

SELAMAT DATANG KE TAMAN SYURGA

Assalamualaikum anak-anak bonda yang dikasihi,
Hidup ini ibarat roda. sesekali kita di atas sesekali kita di bawah. Tetapi Allah SWT sentiasa memberi kita harapan dan cahaya serta peluang untuk memperbaiki diri. Walau bagaimanapun situasi kita, yakinlah bahawa JANJI Allah SWT itu benar. Jadi, jangan risau dan khuatir jika kita pernah terjerumus ke lembah kejahatan, peluang taubat terbuka luas, seluas langit yang tidak bertepi dan selagi kita tidak mensyirikkan Allah SWT, pasti syurga itu menjadi milik semua umat Islam. Di laman ini, bonda akan kemukakan tips-tips bagaimana mahu memperbaiki diri agar mampu menjadi insan yang sentiasa dalam redha Ilahi.

Monday, August 13, 2012

SELAMAT HARI RAYA


Lagu hari raya sudah berkumandang di sana-sini. lagu yang sering mengusik jiwa sang perantau. Lagu yang juga mengusik hati seorang tua yang pastinya menanti anak cucu pulang ke desa...... Lagu Anuar dan Ellina memanggil-manggil anak muda untuk pulang ke desa merasai kuih muih dan rendang hasil tangan ibu kesayangan. Tetapi jika ibu itu sudah dhaif dan lemah...???
Anak-anak bonda yang dikasihi,
Jika dulu tangan tua itu sanggup bangun dini hari untuk menyediakan juadah hari raya tetapi kini tangan tua itu hanya mampu mengangkat tangan berdoa agar anak cucu tetap pulang meraikan hari raya, hari yang penuh syahdu dan penuh dengan kerinduan. Oleh itu anak-anak bonda, jangan lupa menjadikan rancangan pulang ke desa adalah agenda utama untuk menjengok nenda dan atok yang semakin dimamah usia.
Nyamuk? Mandi perigi? Lumpur? Tidur atas lantai?
Ya, anak-anak bonda. Itulah kehidupan bonda dahulu. Susah tetapi penuh dengan keriangan dan kasih sayang. Kedinginan malam menjadikan pelukan nenda begitu menghangatkan. Gebar yang sudah lusuh tetap menjadi teman setia. Mandi perigi yang dingin menyucuk daging di subuh hari menjadikan kami anak desa yang kental dan lasak. Bersedia untuk menghadapi cabaran di siang hari. Lumpur dan selut adalah permainan harian kami. Itu sebab kami cekal dan tabah. kehidupan kami penuh dengan kepayahan yang meriangkan. Itulah kehidupan kami. Cuba rasai kehidupan itu untuk sehari dua anak-anak bonda.
Anak-anak bonda,
Cuba lihat wajah nenda yang sudah dimamah usia itu. Bonda juga akan menghadapi situasi sedemikian. Anakda semua juga akan menghadapi situasi sedemikian. Kehidupan ini ibarat roda ia akan terus berpusing dan berulang. Oleh itu, hargai nenda kita selagi mereka masih ada. Cium tangan mereka dan kucup pipi mereka. Ucapkan dengan lembut, "Maaf zahir batin nek, atok.." ukirkan senyuman mesra dan manja. Pasti nenda dan atok akan riang dan gembira. Tenang dan senang jiwa mereka. Doa tentu akan mengiringi anak-anak bonda semua. Doa orang tua itu makbul tau kerana Allah SWT telah berfirman sebagai janji, "Berdoalah kepada-Ku, nescaya Aku kabulkan doamu." Anak-anak bonda juga jangan lupa doakan untuk bonda, ayahanda, atok dan nenda juga.
Anak-anak bonda,
Jangan bezakan kampung ayahanda dan bonda. Kampung ayahanda mungkin sudah moden dan senang, selesa anakda merayakan hari mulia nanti. Tetapi bukankah tahun ini giliran ke kampung bonda. Walau hidup miskin, itulah kehidupan dan dunia bonda yang anakda kena turut sama menghormati kehidupan bonda sebagaimana anakda menghormati kehidupan ayahanda. Tak pe duit raya tak dapat banyak, air hanya secangkir air sirap kurang manis atau kuih hanya baulu keras. Rasailah kepayahan orang lain agar kita menjadi rendah diri. Bukankah kita sudah berpuasa sebulan untuk merasai kesusahan orang fakir dan miskin. Apa salahnya kita pula yang menghulurkan duit raya kepada anak-anak desa di sana. Mudah-mudahan hidup kita lebih diberkati. Bukankah "tangan yang memberi itu lebih mulia".
Baiklah anak-anak bonda, Selamat hari raya diucapkan. Hargai dan rayakan dengan penuh kesederhanaan kerana hari raya adalah hari kemenangan umat Islam berjuang menentang hawa nafsu sepanjang bulan ramadhan. Jangan lupa bertakbir di pagi raya. Rasai Kekuasaan dan Kebesaran Allah SWT yang memberi kita nyawa dan kehidupan... Maaf Zahir Batin.

Posted by NOR RAUDAH HJ SIREN at 8:23 PM 1 comments

Wednesday, August 1, 2012

BERATNYA NAK JADI PEMAAF


Assalamualaikum anak-anak bonda yang dikasihi lagi dirindui,
Tentu anak-anak pernah berasa marah kepada kawan-kawan yang mengganggu kehidupan kita atau melakukan sesuatu yang kita tidak sukai. Ada kawan-kawan yang cuba memburukkan nama kita. Ada kawan yang mengambil barang kita. Ada kawan yang suka bercakap kasar dengan kita. Ada kawan yang suka mengejek kita. Ada kawan yang suka meminta atau meminjam barangan kita. Macam-macam perangai yang kawan-kawan kita lakukan sehingga boleh menimbulkan rasa marah dalam diri kita.
Tahukah anak-anak, sifat marah adalah dari elemen kejadian manusia yang memiliki unsur api sebagaimana disebut dalam Surah Ar-Rahman, ayat 14 maksudnya : "Dia (Allah) menjadikan manusia dari tanah kering seperti tembikar (tanah yang dibakar)." Tanah yang dibakar sebagai unsur api dalam tubuh manusia telah mewujudkan sifat marah. Tetapi, marah yang bagaimanakah yang dibenarkan oleh Allah SWT itu anak-anak? Adakah marah terhadap perkara-perkara yang bonda sebut tadi?
SALAH TU ANAK-ANAK!!
Perkara-perkara yang kawan-kawan kita lakukan terhadap kita hanya sebahagian dari ujian kecil kita untuk menguji sifat sabar kita, sifat kasih kita dan sifat ukhuwah kita. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud, Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w.“Berwasiatlah kepadaku, “Lalu Nabi s.a.w menjawab: “Janganlah engkau menjadi seorang yang pemarah.” Orang itu mengulangi permintaan beberapa kali, Nabi s.a.w menjawab:“Janganlah engkau menjadi seorang yang pemarah.” (Riwayat al-Bukhari). Hadis ini menunjukkan agar kita jangan cepat menjadi pemarah terhadap hal dunia yang remeh-temeh itu walau kita rasa perkara itu cukup besar..
TAPI TAK BOLEH MARAH KE?
Ya anak-anak bonda. Terdapat beberapa perkara yang amat dituntut untuk kita berasa MARAH.
1. Memerangi musuh Allah, menghalang kekufuran dan Kejahatan Musuh Allah.
2. Menyeru kepada perkara ma'ruf
3. Menegah perkara Mungkar.
Tetapi kemarahan itu mestilah dilakukan kerana Allah bukan kerana kepentingan peribadi dan hendaklah dilakukan dengan terkawal.
KALAU PERASAAN MARAH LAHIR JUGA? TAKKAN NAK TAHAN?
Ya, anak-anak semua, Rasulullah SAW pun pernah mengatakan, "Tidaklah (dikatakan) kuat gagah itu dgn pergaduhan (pergelutan),sesungguhnya kuat gagah itu ialah sesiapa yang dapat mengawal dirinya ketika Marah" (Hadis riwayat Shaikhani)
Tentu ia memerlukan kekuatan yang luar biasa tetapi ia tetap boleh dididik untuk menahan kemarahan itu dengan tenang;
1. Mengucap "A'uzu billahi minassyaithanirrajim " iaitu menyedari bahawa sifat marah itu daripada syaitan . Maka berlindunglah dengan Allah dari kejahatannya.
2. Jika marah ketika berdiri, duduklah
3. Jika marah semasa duduk, hendaklah berbaring
4. Jika masih marah juga, pergilah berwudhuk kerana api kemarahan akan dapat dipadamkan dengan air sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, "Sesungguhnya syaitan itu daripada api (an nar )dan sesungguhnya dipadamkan api itu dengan air. Maka apabila seseorang itu marah, maka ambillah wudhuk" (Hadis Riwayat Abu Daud)
5. atau meletakkan pipinya ke bumi sebagaimana Sabda Rasul saw yang bermaksud, "Ketahuilah sesungguhnya marah itu seumpama bara api pada hati anak Adam, Tidakkah kamu melihat kedua matanya merah, dan bengkak urat lehernya. Maka jika dapati yg demikian itu, maka hendaklah dia meletakkan pipinya ke bumi"
Oleh itu, anak-anak bonda. Didik hati untuk menjadi pemaaf kerana dengan sifat MAAF, segala api akan padam, segala dendam akan terungkai. Mudah-mudahan dengan jalan MEMAAFKAN, kita mampu menjadi orang yang paling SABAR dan pastinya mudah untuk kita menuju jalan ke Taman Syurga-Nya...
Posted by NOR RAUDAH HJ SIREN at 9:49 PM 0 comments

PUASAKAH KITA HARI INI?



Assalamualaikum anak-anak bonda yang manis...
Selamat berpuasa di bulan Ramadhan yang penuh barakah ini. Alhamdulillah, usia kita dipanjangkan oleh Allah untuk bertemu dengan bulan mulia ini. Bonda pasti semua taat dengan perintah Allah SWT ini, anak-anak yang masih kecilpun ada yang berusaha belajar untuk berpuasa. Seronok juga belajar berpuasa ni. Macam-macam ragam ada. Ada yang minum air paip dalam bilik air, ada yang puasa sekerat hari campur sekerat hari esoknya untuk dapat satu hari puasa. Ada yang puasa kerana ganjaran sehari dapat RM1.00 dan seribu macam karenah anak-anak. Itulah namanya pembelajaran yang diajar oleh Islam agar dilakukan secara berperingkat-peringkat.
Tetapi anak-anak bonda semua, sejauhmanakah puasa kita sempurna atau sekadar menahan diri dari lapar dan dahaga?
Cuba koreksi diri...
Semasa berpuasa, berapa kali baca al-Quran atau berzikir mengingati Allah dan Rasulullah?
Semasa berpuasa, berapa kali kita mengutuk dan mengumpat orang lain?
Semasa berpuasa, berapa kali kita menahan pandangan yang menjolok mata?
Semasa berpuasa, sudahkan kita berdoa di saat doa dimakbulkan?
Semasa berpuasa, berapa ramai yang bersedekah kepada orang miskin?
Semasa berbuka, sempatkah kita baca doa berbuka dan doa makan?
Semasa berbuka, berapa jenis makanan di atas meja?
Semasa berbuka, berapa kilogram makanan yang terbuang?
Semasa berbuka, secepat mana kita menunaikan fardhu maghrib yang pendek itu?
Semasa berbuka, berapa ramai yang mengingati rakan-rakan yang sedang kebuluran di luar sana?
Selepas berbuka, berapa ramai berduyun-duyun menunaikan sunat terawih secara tetap di masjid dan surau-surau?
Selepas berbuka, berapa ramai yang bersyukur dengan rezeki pada hari itu?
Selepas berbuka, berapa ramai berterima kasih dengan ibu yang menyediakan juadah?
Selepas berbuka, berapa ramai yang menunaikan solat sunat sepertiga malam?
Anak-anak,
Selepas bulan puasa, semua peluang itu akan hilang dan terpaksa menunggu di tahun hadapan jika usia masih panjang. Tentu kerugian akan menjadi milik kita jika kita lepaskan semua peluang beribadat di bulan puasa. Bulan yang diberkati dan diberi ganjaran berganda berbanding bulan yang lain. Rasulullah SAW telah bersabda, yang maksudnya: "Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla berkata: "Melainkan puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku.” Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan; kegembiraan semasa berbuka dan kegembiraan semasa menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau Musk.” (
Riwayat Bukhari & Muslim)

Lihatlah betapa besarnya janji Allah kepada orang yang berpuasa. Oleh itu anak-anak, jom kita berpuasa mulai hari ini dengan sebenar-benar puasa. Puasa zahiriah dan batiniah. Puasa yang boleh menyucikan diri dari dosa dan menjauhkan diri dari amalan buruk. Jadikan bulan mulia ini sebagai jalan untuk menuju TAMAN SYURGA-NYA...

Posted by NOR RAUDAH HJ SIREN at 2:13 AM 0 comments

HARI INI SUDAH SENYUM?


Assalamualaikum anak-anak semua...
Sudah senyumkah hari ini? Senyum adalah satu cara terapi diri dan juga terapi untuk orang lain. Senyum memperlihatkan jiwa dan hati kita yang tenang dan ikhlas. Senyum akan menjadikan diri kita sentiasa positif dalam hidup. dengan senyum minda kita akan sentiasa melihat perkara yang sukar menjadi mudah. Susah ke hendak senyum?
Rasulullah SAW menegaskan bahawa senyum itu satu sedekah sebagaimana sabdanya apabila ditanya oleh sahabat yang tidak memiliki apa pun untuk disedekahkan bertanya, “Jika kami ingin bersedekah, namun kami tidak memiliki apa pun, lantas apa yang boleh kami sedekahkan dan bagaimana kami menyedekahkannya ?” Rasulullah SAW bersabda, “Senyum kalian bagi saudaranya adalah sedekah, beramar makruf dan nahi mungkar yang kalian lakukan untuk saudaranya juga sedekah, dan kalian menunjukkan jalan bagi seseorang yang tersesat juga sedekah.” (HR Tirmizi dan Abu Dzar).
Tahukah anak-anak bahawa sedekah itu merupakan antara amalan yang akan dibawa semasa kita mati sedangkan perkara yang lain akan kita tinggalkan. Untuk bersedekah tidak perlu mencari wang atau menunggu berkemampuan. Dengan senyum sahaja sebahagian dari tanggungjawab bersedekah sudah selesai!
Susah ke hendak senyum?
Cuba pandang wajah rakan kita yang tidak pernah senyum. Apa yang terbayang di minda anak-anak. Muka mereka serius, ada garis kebimbangan, prasangka, tidak mesra, garang dan pasti kita kekok untuk memulakan perbicaraan. Tentu anak-anak rasa tidak selesa atau tidak mesra dengannya.
Susah ke hendak senyum?
Cuba pandang wajah ibu kita yang sentiasa tersenyum melayan karenah anak-anaknya. Walau garis kepayahan terbayang di wajahnya, tapi senyumnya begitu mesra dan menenangkan hati kita. Kita akan sentiasa rasa selamat bersamanya. Senyumnya adalah penawar hati kita yang kadang kala jauh tinggal di perantauan.
Susah ke hendak senyum?
Hanya pandang wajah kawan-kawan kita atau orang di persekitaran kita dan SENYUM ... tanpa kata apa-apa.
TAPI AWAS!
Senyum itu berpada-pada.. jangan terlebih pula kerana dengan senyumpun akan ada fitnah yang datang terutama senyum dengan orang yang bukan mahram kita yang di dalam hati mereka ada bunga-bunga CINTA... he he..


Posted by NOR RAUDAH HJ SIREN at 1:52 AM 0 comments

Tuesday, May 15, 2012

JOM ke Taman Syurga



Assalamualaikum anak-anak semua...
Setiap hari apabila kita membuka mata di subuh hari, perkara pertama yang perlu kita fikirkan ialah SOLAT SUBUH.
Kewajiban yang satu ini pastinya amat payah untuk dilaksanakan terutama apabila mimpi indah sedang membuai dan mata sungguh enak untuk dipejamkan. Tahukah anak-anak semua bahawa pada masa itu, syaitan sedang bermain-main dipersekitaran kita. Menyiramkan air kedinginan dan mendatangkan mimpi indah serta menindih tubuh kita agar berat untuk bangun. Macam-macam strategi licik syaitan untuk membuatkan anak-anak Adam pada waktu itu untuk terus lena di atas katil masing-masing sehinggalah matahari naik dan SUBUH sudah berlalu... maka rugilah anak-anak Adam yang terpedaya dengan tipu daya ini.

Mari anak-anak bonda yang baik, cantik dan soleh/ solehah...
Bangunlah di subuh hari. Jom kita menuju ke Taman Syurga yang telah ditetapkan oleh Allah SWT bagi orang yang tunduk dan sujud kepadanya. Kita bersyukur kerana dihidupkan pada pagi ini dan boleh melaksanakan tugas seharian serta diberi peluang untuk terus beribadat mengutip rezeki dan bekalan untuk menuju alam akhirat.
Allah SWT berfirman dalam Surah al-hadid ayat 21 yang bermaksud;
"Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik) untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar."

Maha Pengasihnya Allah SWT yang sentiasa memberi nikmat yang melimpah ruah sepanjang hamba-Nya tinggal di dunia ini. Malah jika hendak dikira, pasti seluruh alam dan kejadiannya tidak cukup untuk menjadi alat untuk mengira.

Oleh itu anak-anak semua,
Jom kita menuju ke Taman Syurga Ilahi yang sangat indah, luas dan selesa serta penuh dengan kenikmatan yang tidak tergambar di mata, dan di dengar oleh telinga. Nikmat syurga yang disediakan khas untuk hamba-hamba Ilahi yang taat dengan perintah-Nya serta hanya menyembah-Nya sebagai Tuhan yang diyakini.

Tetapi anak-anak bonda,
Bagaimana hendak menuju ke Taman Syurga yang indah itu?
Yakini bahawa Allah melihat apa yang kita buat
Yakini bahawa kita hidup kerana nikmat dari Allah SWT
Yakinilah bahawa segala amal kita walau sekecil zarah akan tetap membawa kita ke syurga Ilahi
Yakinilah bahawa selagi kita tidak menyirikkan Allah SWT selagi itu dosa kita akan diampunkan
Inilah antara janji-janji Allah, yang tidak pernah didustakan

Jom anak-anak bonda!
Jom kita ke Taman-taman Syurga
Bermula dengan pagi ini dengan bangun SOLAT SUBUH...


Posted by NOR RAUDAH HJ SIREN at 2:06 AM 0 comments
Newer Posts Home
Subscribe to: Posts (Atom)

Cari apa di Taman ini sayang!

PUISI KASIH BONDA

Bila seorang bonda mendekati anaknya
Senyum mulusnya penuh kasih dan rindu
Suaranya penuh hikmat dan pesanan
Belaian tangannya adalah harapan dan doa
Pelukannya adalah kesyukuran pada amanah Allah

Bila seorang bonda mengungkap bicara
ajaran kebaikan jadi pilihan
ajaran jahat jadi sempadan
di hatinya sungai mengalir jernih dan dingin
mahu melihat anak-anak berjaya
menongkah arus merentas onak
menuju redha Ilahi

Bila seorang bonda menadah tangan
doanya hanya untuk anak tercinta
"Ya Allah, selamatkan anak-anakku dari kejahatan dunia"
"Ya Allah, bimbinglah anak-anakku menuju syurga-Mu"

Kasih bonda tidak bertepi
juga tidak bertali
kasihnya sejati

Anak-anak bonda
lihatlah wajah bonda
selagi masih boleh ditatap
kerana SUATU HARI
Rindu akan merentap
Bila bonda hanya dalam kenangan...

Senarai TIPS

  • ►  2022 (5)
    • ►  April (5)
  • ►  2013 (1)
    • ►  March (1)
  • ▼  2012 (5)
    • ▼  August (4)
      • SELAMAT HARI RAYA
      • BERATNYA NAK JADI PEMAAF
      • PUASAKAH KITA HARI INI?
      • HARI INI SUDAH SENYUM?
    • ►  May (1)
      • JOM ke Taman Syurga

Nak ilmu lain, singgah ke sini!

  • Institute Dr Raudah
    PELANCARAN BUKU ANTOLOGI CERPEN KANAK-KANAK DAN ANTOLOGI CERPEN SAUDAGAR KOPI
    6 months ago
  • taman-taman syurga
    MAKNA KEJAYAAN
    13 years ago
  • PENULIS DA'IE
    PENGENALAN PENULISAN DAKWAH
    13 years ago
  • Media Cetak Dakwah
    KULIAH 1: PENGENALAN PENERBITAN MEDIA CETAK
    16 years ago
  • TEKNIK PENULISAN
    KULIAH 10: KEBERKESANAN PENULISAN ILMIAH
    16 years ago
  • SUARAKU UNTUK DA'IEKU
    kuliah 11 Penerbitan Laman Web
    17 years ago
  • gengdakwah.info - Geng Dakwah PBJJ UKM Bangi Intake 2009/2010
  • ISU-ISU MEDIA SEMASA

Siapa singgah di taman ini...

About Me

My photo
NOR RAUDAH HJ SIREN
Lahir di Sabak Bernam, Selangor. Bersekolah di Sek. Keb. Batu 38, Sabak Bernam, Selangor dan menyambung alam menengah di Sekolah Agama Menengah Tinggi, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SAMTS), Batu 38, Sabak Bernam. Selepas STPM, meneruskan pengajian ke Universiti Malaya dalam bidang Media sehingga ke peringkat Doktor Falsafah. Kini, bertugas sebagai pensyarah kanan di Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Bidang pengajaran dan kajian ialah media dakwah dan penulisan. Kini sedang mencari ilmu-ilmu dakwah dengan mengikuti pengajian jarak jauh di Fakulti Pengajian Islam, UKM, Bangi untuk mendapatkan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Dakwah dan Kepimpinan)
View my complete profile

KELUARGA BAHAGIA

KELUARGA BAHAGIA
Indahnya dalam taman syurga ini..
[close]
Picture Window theme. Powered by Blogger.