Tok Mat terbongkok-bongkok
membersihkan pangkal pisang yang berselirat dengan daun-daun yang sudah kering.
Dipangkasnya perlahan-lahan dengan tenaga tuanya. Beberapa pokok yang sudah matang
ditebang dan dipangkas tandan buahnya. Pokok yang sudah tumbang
dicincang-cincang dan diletakkan di sekeliling anak-anak pokok pisang sebagai
baja. Menanam pokok pisang mudah. Sekali
tanam, hasilnya boleh dirasa selagi masih berhasil dan dijaga. Baja organik
daripada pokok yang sudah mati pula lebih selamat berbanding baja kimia.
Sesekali Tok
Mat menyeka peluh di dahinya dengan hujung baju kemeja. Sesekali dia mengipas
tubuhnya dengan topi kebunnya. Kebunnya tidak luas. Hanya dengan dua ekar setengah
itulah ditanamnya dengan pelbagai jenis pisang - ada Pisang Tanduk, Pisang Abu
atau Pisang Nipah, Pisang Emas, Pisang Rastali, Pisang Awak, Pisang Raja,
Pisang Berangan, dan Pisang Nangka. 1500 pokok semuanya. Semua jenis-jenis
pisang itu memang dihafal dan difahami tabiatnya. Bukan sahaja buah pisang
dapat dijual, bahkan daun dan jantung pisang juga boleh dijual. Dia juga tahu yang
mana daun pisang yang boleh digunakan dan yang mana daun pisang yang tidak
boleh digunakan, yang mana jantung pisang yang boleh dimakan dan yang mana
jantung pisang yang tidak boleh dimakan. Kalau tidak kenal, terambil jantung
pisang yang salah, alamat kelat dan pahit rasanya.
“Tuan Haji, sekarang ini musim penyakit Covid
19!” Cikgu Arsyad, anak muda yang menjadi guru di kampung itu menegur Tok Mat
yang sedang tekun mengumpul pisang-pisang yang sudah siap disisir ke raga-raga
besar untuk diambil oleh Fauzi yang menjadi peraih hasil kampung. Fauzi akan
menjualnya di Pasar Tani. Tok Mat memisahkan raga-raga mengikut jenis pisang.
Pisang yang sudah disisir bersikat-sikat akan dibungkus dengan surat khabar.
Perdana Menteri telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan selama dua minggu
dalam Televisyen bermula 14 Mac dan mungkin akan bersambung sehingga lepas Hari
Raya Aidilfitri secara berfasa. Anaknya, Solehah dan Imran sempat pulang
bercuti semester. Universiti tutup, kata mereka.
`“Kita kena
duduk di rumah sahaja Tuan Haji. Hendak putuskan rantaian jangkitan itu!” Cikgu
Arsyad menghentikan enjin motosikalnya. Dia berdiri jauh dari Tok Mat sebagai
langkah berjaga-jaga. Biasanya, bila berjumpa, dia pasti menyalami Tok Mat
sebagai seorang yang dihormati di kampung itu. Tetapi arahan untuk tidak
bersalam, kena dipatuhi.
“Bahan tani ni
kalau tidak dituai, dia membusuk. Sayang dan membazir. Lagipun Pak Cik mengadap
pokok pisang je. Pokok pisang boleh kena Covid juga ke? Pekerja semua, Pak Cik sudah
beri cuti. Cikgu ambillah pisang yang Cikgu hendak. Boleh makan dengan
keluarga.” Tok Mat menunjuk deretan pisang yang sudah siap disisir. Cikgu Arsyad mengangguk-angguk sambil mengelus-ngelus
janggutnya yang sejemput sambil membetulkan topeng mukanya. Hatinya girang,
dapatlah petang ini keluarganya makan pisang goreng panas.
“Malam tadi Kak
Peah dibawa ambulan ke hospital!” Cikgu Arsyad yang baharu berusia 30 tahun
itu, mengambil pisang tanduk dan pisang emas yang sudah disisir oleh Tok Mat
dan memasukkannya ke raga motosikal Honda C90nya. Cikgu Arsyad menghulurkan
RM20.00 kepada Tok Mat. Tetapi segera ditolak oleh Tok Mat. Lagipun, sejak Perintah
Kawalan Pergerakan ini, Mak Kiah, isterinya tidak lagi menjual pisang goreng di
gerai depan rumah mereka. Banyak buah pisang yang tidak terjual. Itupun Tok Mat
sudah banyak sedekah kepada jiran tetangga.
“Kak Peah sakit
apa, Cikgu? Minggu lepas sihat je tolong Mak Kiah kamu goreng kerepek. Tapi
dengar juga sesekali dia batuk dalam topeng muka dia. Mak Kiah kamu suruh balik
berehat.” Tok Mat memandang ke arah langit yang sudah mula mendung.
“Aduh, bahaya
tu Tuan Haji. Anak Kak Peah, Abang Fadzil baru balik tabligh. Takut terkena
jangkitan Covid 19. Tuan Haji dan keluarga kena pergi hospital juga buat
saringan.” Cikgu Arsyad segera menghidupkan enjin motosikalnya dan berlalu. Dia
hanya mengangkat tangan kepada Tok Mat.
Tok Mat pun
segera berkemas dan membawa raga yang penuh dengan pisang ke dalam motosikal
roda tiganya. Baru sebentar tadi Fauzi menelefonnya tidak dapat mengambil
pisang Tok Mat. Pasar Tani kena tutup, katanya. Mengangkut 5 buah raga pisang
yang sarat dengan isi amat menyukarkan Tok Mat mengendalikan motosikal roda
tiganya. Tok Mat tiada lori, sebab selama ini, Fauzi yang memasarkan
pisang-pisangnya. Elok rezeki dibahagi-bahagikan agar semua menikmatinya,
itulah prinsip hidup Tok Mat.
“Banyaknya
buah pisang ni. Nak buat apa ayah? Abang Fauzi, tak beli ke?” Imran mengangkat
raga-raga yang masih penuh berisi pisang. Tok Mat melabuhkan punggungnya ke
kerusi di kilang tempat Mak Kiah dan Solehah sedang sibuk menggoreng kerepek
pisang sementara dua orang pekerja yang lain sibuk membungkus kerepek yang
sudah sejuk. Dia mengipas-ngipas dadanya dengan topi kebunnya. Sesekali
nafasnya turun naik. Tenaga tuanya sudah dirasai. Dengan usia 60 tahun, Tok Mat
sudah sering kelelahan bila ke kebun. Nasib baik dia ada tiga orang pekerja
yang rajin dan amanah melaksanakan tugas menguruskan kebun pisangnya. Sejak
perintah kawalan pergerakan (PKP), pekerjanya dicutikan dengan bergaji. Namun
bila dia perlukan mereka, Tok Mat akan menyuruh mereka datang membantunya di
kebun.
“Tidak mengapa
ayah. Bila pisang ni dah masak, Leha nak buat biskut, kuih, kek dan macam-macam
lagi. Kita masih boleh jual di sekitar kampung ni. Jual secara pospun boleh!
Lagipun Ramadhan dah nak tiba ni” Solehah membelek-belek pisang di raga yang
sudah diturunkan oleh Imran. Tok Mat mengurut dadanya. Dia bersyukur memiliki
anak-anak yang kreatif dan inovatif. Solehah memang rajin menolong Mak Kiah
bila balik bercuti. Pelbagai resepi dicubanya. Tidak sia-sia dia mengambil
jurusan sains pemakanan di Universiti Kebangsaan Malaysia.
Solehah juga
sedang menyiapkan kajian sarjana tahun akhirnya, mencipta produk makanan sihat
untuk bayi. Dan dia memilih pisang sebagai bahan utama. Macam-macam jenis
pisang dicubanya dan dicampur dengan beberapa bahan selamat untuk bayi agar
tahan lama dan sedap dimakan. Pelbagai pes makanan bayi dibuat termasuk makanan
bayi berbentuk biskut. Pernah dia
mencuba membuat pes pisang digabungkan dengan kurma. Rasanya sedap dan tahan
seminggu dalam peti sejuk. Kini, dia memikirkan bagaimana untuk memastikan pes
itu boleh dipasarkan dan tahan lebih lama. Pensyarahnya, Profesor Dr Mahmud
mencadangkannya Pembungkusan Atmosfera Terubah Suai (MAP) untuk teknologi
pembungkusan makanan sedia untuk dimakan. Makanan akan tahan 4 – 6 minggu.
“Musim PKP ni,
Leha boleh siapkan ujikaji Leha di rumah dengan pisang-pisang ini. Nanti boleh
minta bayi-bayi di kampung ini cuba rasa. Harap-harap mereka suka. Pisang ini
berkhasiat, ayah, emak. Memudahkan sistem pencernaan terutama bayi.” Solehah
membelek-belek pisang emas dan pisang berangan yang sudah agak ranum di atas
meja. Peralatan pembungkusan akan dibantu oleh pensyarahnya kerana teknologi
tersebut ada di makmal universitinya.
“Orang kampung
ni, beri pisang lenyek je, Leha.” Mak Kiah meneruskan kerja-kerja menggoreng.
Mukanya merah dan peluh sudah mengalir di dahinya yang sudah berkedut sambil
membetulkan tudungnya yang senget. Tangannya banyak berparut hitam di sana sini
kesan percikan minyak panas menggoreng kerepek dan pisang. Tetapi dia tidak
kisah. Tok Mat masih sayang dan setia dengannya. Semasa mula-mula berkahwin,
mereka sudah merancang pembangunan ekonomi keluarga mereka. Keputusan membuka
kebun pisang dalam tanah pusaka arwah ibu bapa Tok Mat memang tepat. Tok Mat
tidak bersekolah tinggi tetapi dia mahir dalam berkira-kira.
Mak
Kiah dan Tok Mat bersyukur dengan rezeki yang Allah kurniakan. Mereka juga
tidak lupa menabung. Bagi mereka, simpanan mesti ada sebagai persiapan jika
berlaku sebarang musibah. Mereka mengambil iktibar dari kisah Nabi Yusuf a.s
yang menyimpan untuk menghadapi kemarau 7 tahun setelah menghadapi 7 tahun
subur. Walau bagaimanapun, mereka tidak lupa untuk membayar 2.5% daripada zakat
pendapatan dan 2.5% zakat simpanan di samping bersedekah sebagai cara menyucikan pendapatan
mereka. Duit simpanan dibuat akaun asing-asing. Satu untuk Tok Mat dan satu
untuk Mak Kiah. Untuk kegunaan harian mereka membuka akaun khas dengan nama Tok
Mat. Disisihkan juga simpanan untuk dua orang anaknya, Imran dan Solehah sejak
mereka berdua lahir. Mereka hidup sederhana. Mereka sudah berjanji untuk tidak
hidup mewah. Makan pakai sekadarnya. Latihan itu juga diberikan kepada
anak-anaknya. Anak mereka Imran dan Solehah pula tidak perlu membuat pinjaman
pelajaran. Alhamdulillah setakat ini mereka mampu membiayai pembelajaran
mereka.
“Pisang lenyek
sebenarnya lebih bagus mak, sebab belum dicampur dengan macam-macam. Tetapi di
bandar tu, kadang susah nak dapat bekalan pisang atau ibu bapa mereka sibuk
bekerja. Tidak sempat hendak memproses makanan untuk bayi mereka. Makanan
segera yang berkhasiat inilah yang mereka cari.” Solehah menjelaskan sambil mengangkat
kerepek pisang Tanduk yang sudah garing kekuningan dan mematikan api gas yang
membara dari mesin penggoreng kerepek ciptaan Zull Design Autotronic, satu-satunya
pencipta barangan elektronik bangsa Melayu yang sudah banyak mencipta peralatan
untuk membantu peniaga-peniaga produk IKS. Mesin penggoreng itu boleh memuatkan
sehingga 10 kilo pisang sekali goreng.
Imran pula
membersihkan mesin penghiris kerepek yang dibeli dari pencipta yang sama.
Kedua-dua mesin itu merupakan bantuan dari kerajaan negeri Selangor untuk
peniaga-peniaga IKS. Imran juga
bercita-cita untuk mengikut jejak langkah orang yang hebat ini. Dia memilih
bidang Robotic di UTM dan juga belajar secara hujung minggu bidang elektronik.
Dia masih tahun 2, tetapi sudah memiliki visi dan misi hidupnya. Ke mana tidak
tumpah kuah, kalau tidak ke nasi. Tok Mat dan Mak Kiah pula tidak menghalang
semua cita-cita dan hasrat anak-anaknya.
Mak Kiah
mengibas pakaiannya dan membuka Apron lalu menggantungnya di tiang di sudut
kilang. Dia masuk ke dapur rumahnya dan membuatkan satu teko air kopi o kampung
untuk keluarganya. Kek Pisang yang dibakar oleh Solehah malam tadi
dipotong-potong untuk juadah minum petang keluarganya. Mak Kiah membawa juadah
itu ke kilang di sebelah rumahnya dan diletakkan di atas meja sementara Solehah
dan Imran mengemas dan membersihkan tempat kerja. Angin petang sepoi-sepoi bahasa menyamankan.
Hujan renyai-renyai mula turun.
“Kita kena pergi hospital!” Tiba-tiba Tok Mat
bersuara. Semua mata memandangnya. Mak Kiah yang sedang menuang kopi o hitam
pekat ke dalam cawan, terhenti seketika. Dia duduk dan memandang tajam wajah
Tok Mat. Wajah yang sudah berkedut dengan rambut yang sudah memutih. Itulah
sifatnya. Jika suaminya mula bercakap, dia akan diam untuk mendengar, walau di
hatinya meronta-ronta untuk mendengar cerita selanjutnya, sementelah suaminya
amat berhati-hati jika berkata-kata. Imran dan Solehah segera menghentikan
pekerjaan mereka dan turut duduk di kerusi untuk minum bersama. Pekerjanya,
Eton, Mona dan Kak Ju juga turut duduk bersama di meja tersebut untuk menikmati
minum petang sebelum pulang ke rumah.
“Kak Peah dan keluarganya demam, batuk-batuk
dan sakit kerongkong. Malam tadi ambulan dah bawa mereka pergi ke hospital.”
Imran sedikit gugup mendengar cerita Tok Mat. Solehah mula resah. Mak Kiah
masih terpinga-pinga. Dia memandang Eton dan Kak Ju. Mereka saling berpandangan
sambil mengerutkan dahi. Mak Kiah teringat Kak Peah yang selalu membantunya
menggoreng pisang. Memang sejak akhir-akhir ini, Kak Peah nampak tidak sihat.
Sudah seminggu dia merehatkan Kak Peah, sejak sebelum PKP lagi. Suaminya, Pak
Samad juga sudah uzur dan satu-satunya anak lelaki mereka pula selalu keluar kampung
mengikuti gerakan tabligh.
Hidup sebagai
petani sejak muda bukanlah mudah. Memerlukan tulang empat kerat. Jika rajin
adalah hasilnya, adalah bahagiannya untuk menghasilkan sumber pendapatan. Pak
Samad tiada kebun, dia menghabiskan usia mudanya dengan mengambil upah mengait
kelapa. Bila sudah uzur, dia tidak mampu bekerja lagi. Kakinya lumpuh setelah terhempap
setandan buah kelapa yang meluncur dari galah kaitnya. Anak lelakinya Fadzil
dihantar bersekolah tahfiz, tetapi tidak tamat dan bekerja membantu Tok Mat
menguruskan kebun pisang. Sesekali dia akan mengikuti gerakan tabligh di Sri
Petaling. Akhlaknya cukup baik dan menghormati orang tua. Sifat amanahnya juga menjadi
harapan Tok Mat untuk menguruskan kebunnya.
Tok Mat
beruntung kerana memiliki tanah pusaka. Dengan hasil pisang itulah, Tok Mat
menyekolahkan anaknya Imran dan Solehah hingga masuk ke Universiti. Isterinya
Mak Kiah pula, rajin mempelbagaikan hasil buah pisang. Setiap pagi selepas
memasak untuk juadah sarapan dan tengahari, Mak Kiah akan menggoreng kerepek
pisang. Pisang Tanduk, pisang Nangka dan pisang Abu amat sesuai dibuat kerepek.
Beratus kilo kerepek pisang dihasilkan dengan bantuan Kak Peah, Eton, Kak Ju
dan Mona yang mahu menambah pendapatan. Ada juga pekerjaan untuk orang
kampungnya. Peraih-peraih akan datang bersama lori-lori mereka setiap minggu
untuk mendapatkan tempahan masing-masing. Ramai peraih yang datang dari jauh,
Kedah, Johor, Kelantan, Pahang dan sebagainya. Kerepek Mak Kiah terkenal di
seluruh Malaysia.
“Imran, Solehah, Kiah. Ayah nak keluarkan 1/3
dari simpanan kita untuk bersedekah kepada penduduk kampung. Apa pandangan kamu
semua?” Tok Mat memandang wajah anak-anak dan isterinya sambil menghirup kopi
hitam pekat kegemarannya. Tok Mat bimbang, ada keluarga di kampung itu yang
kebuluran kerana tidak dapat keluar bekerja. Hidup sebagai petani yang kais
pagi makan pagi, kais petang makan petang. Jika PKP ini berlanjutan, tentu kehidupan
mereka semakin susah. Imran dan Solehah mengangguk. Mak Kiah tersenyum bangga. Ada
juga bahagian keluarganya yang boleh diinfakkan untuk orang kampung. Eton, Kak
Ju dan Mona mengangguk-angguk gembira. Mereka bangga mempunyai majikan yang
pemurah. Selama ini, gaji mereka tidak pernah kurang, malah setiap tahun mereka
akan diberi bonus. Ringan beban apabila anak-anak mula buka sekolah.
Tok Mat
membacakan dua potong maksud hadis untuk tatapan keluarga dan pekerjanya petang
itu. Rasulullah s.a.w telah bersabda, “Segeralah bersedekah, sesungguhnya
musibah tidak dapat melintasi sedekah” (HR : at-Thobrani & Baihaqi) dan
Dari Anas, ia berkata : Rasulullah s.a.w bersabda “ Sesungguhnya sedekah itu
memadamkan kemarahan Tuhan dan mencegah kematian yang buruk.” (HR Thabrani, dia
menghasankannya dan disahkan oleh Ibnu Hiban).
Keesokannya,
pagi-pagi lagi Tok Mat sudah ke bank dan mengeluarkan sebanyak RM100 ribu dari
simpanannya. Sekembalinya dari bank, setelah membayar 2.5% zakat simpanan
kepada imam masjid, dia segera menyerahkan sedekahnya kepada orang kampung
dengan bantuan Imran. Orang kampung yang menerima bantuan Tok Mat
menangis-nangis hiba dan bersyukur. Ada yang sudah dua hari terputus bekalan
wang kerana tidak bekerja. Sedekah Tok Mat melegakan ramai penduduk kampung.
Semuanya mendoakan kesejahteraan Tok Mat sekeluarga.
Selepas solat Zuhur berjemaah, dengan solat
sunat taubat dan doa taubat yang agak panjang, Tok Mat membawa keluarganya ke
hospital untuk membuat saringan Covid 19. Pada hari itu juga, dikhabarkan Pak
Samad meninggal dunia kerana Covid 19 dan Kak Peah sedang sakit tenat. Anaknya
Fadzil masih dalam kuarantin. Segala-galanya amat memberi kesan kepada penduduk
kampung. Buat kali pertama orang kampung tidak dapat melaksanakan tugas Fardhu
Kifayah kepada jenazah kerana segala-galanya diuruskan oleh pihak hospital
termasuk urusan pengkebumiannya. Orang kampung juga turut berduyun-duyun membuat
saringan terutama yang pernah berhubung dengan keluarga Kak Peah. Sesungguhnya
kematian itu pasti, tetapi selagi ajal belum tiba, umat Islam wajib berusaha
menyelamatkan nyawa mereka. Dan hari itu juga, Solat Jumaat di seluruh negara
tidak boleh dilaksanakan. Ya Allah, semoga bencana penyakit ini akan
menghapuskan dosa-dosa kami.