-->
Taman-taman syurga

TIPS DARI BONDA

SELAMAT DATANG KE TAMAN SYURGA

Assalamualaikum anak-anak bonda yang dikasihi,
Hidup ini ibarat roda. sesekali kita di atas sesekali kita di bawah. Tetapi Allah SWT sentiasa memberi kita harapan dan cahaya serta peluang untuk memperbaiki diri. Walau bagaimanapun situasi kita, yakinlah bahawa JANJI Allah SWT itu benar. Jadi, jangan risau dan khuatir jika kita pernah terjerumus ke lembah kejahatan, peluang taubat terbuka luas, seluas langit yang tidak bertepi dan selagi kita tidak mensyirikkan Allah SWT, pasti syurga itu menjadi milik semua umat Islam. Di laman ini, bonda akan kemukakan tips-tips bagaimana mahu memperbaiki diri agar mampu menjadi insan yang sentiasa dalam redha Ilahi.

Monday, April 18, 2022

TADABBUR AL-QURAN SECARA DALAM TALIAN

 

Surah al-Naba’ ayat 1- 20

Surah pertama dlm juzuk 30. Di sebut juga juzuk Amma.

An-Naba’ ialah berita yang sangat besar: 1 kiamat 2: kebangkitan semula. Disebut berulang2 berkaitan dengan kiamat dan kebangkitan semula.

Namun org2 musyrikin mekah pelik, tidak percaya bahawa yang mati akan hidup semula. Allah murka dgn ketidakpercayaan itu.

1-      1- 5 Allah murka dengan mengherdik org2 musyrikin – saling bertanya2 ttg kiamat sdgkan tulang belulang dah hancur.

2-      Tak percaya dan mengejek Nabi SAW yg dianggap tidak betul/ gila.

3-      4 dan 5 ulang perkataan saya’lamuun – ancaman hari kiamat dan hari kebangkitan…

4-      Ayat 6 – 16 – Allah beri bukti berkaitan dgn nikmat2 yang Allah berikan kpd manusia. Bumi sebagai hamparan, gunung sebagai pasak. Manusia berpasang2an. Jadikan tidur/ malam utk berehat. Siang utk bekerja/ cari rezeki- cantiknya aturan Allah.

5-      Allah jadkan langit 7 lapis, tidak bocor, tiada tiang tetapi kukuh.

6-      Dijadikan matahari sebagai pelita yang menerangi muka bumi ini.

 

Al-Quran adalah cahaya yang membimbing manusia ke jalan kebenaran. Membacanya adalah pahala. Membacanya memberi nyawa kepada rumah tangga. Membacanya hati akan terpimpin. Begitulah kenikmatan membaca al-Quran yang menjadi mukjizat kepada seluruh manusia melalui Rasulullah SAW.

              Lantaran itu, 8 bersaudara perempuan memiliki aktiviti menarik setiap pagi dengan meningkatkan kemampuan, kemahiran dan kefahaman membaca al-Quran bersempena berhadapan dengan normal baharu pandemic Covid 19. Walau berjauhan, mereka memulakan pagi untuk berkomunikasi melalui al-Quran. Seawal jam 7 pagi, 8 bersaudara bersedia dengan al-Quran dan telefon bimbit masing-masing dan Ketua kumpulan, Nor Rafeah akan menghubungi ahli kumpulannya yang terdiri dari kakak yang sulung, Noorlaila di Besut, Trengganu, Nor Azwanah di Sabak Bernam, Nor Sobah di Tanjung Karang, Selangor, Nor Raudah di Puchong, Selangor, Noriah di Putrajaya, Nor Fadzilah di Ulu Langat dan Mak Cik mereka, Datin Siti Zainab di Bangi.

“Kami memulakan pagi dengan al-Quran mudah-mudahan mendapat keberkatan dalam hidup,” jelas guru Quran mereka, Noriah yang berpengalaman dalam pengajaran al-Quran semasa bertugas sebagai guru di Jabatan Agama Islam Selangor dan Jabatan Agama Islam Wilayah.



             

 

Posted by NOR RAUDAH HJ SIREN at 12:19 AM 0 comments

COVID 19 MENJENGOK DUNIA (CERPEN UMUM)

 Tok Mat terbongkok-bongkok membersihkan pangkal pisang yang berselirat dengan daun-daun yang sudah kering. Dipangkasnya perlahan-lahan dengan tenaga tuanya. Beberapa pokok yang sudah matang ditebang dan dipangkas tandan buahnya. Pokok yang sudah tumbang dicincang-cincang dan diletakkan di sekeliling anak-anak pokok pisang sebagai baja. Menanam pokok pisang  mudah. Sekali tanam, hasilnya boleh dirasa selagi masih berhasil dan dijaga. Baja organik daripada pokok yang sudah mati pula lebih selamat berbanding baja kimia.

Sesekali Tok Mat menyeka peluh di dahinya dengan hujung baju kemeja. Sesekali dia mengipas tubuhnya dengan topi kebunnya. Kebunnya tidak luas. Hanya dengan dua ekar setengah itulah ditanamnya dengan pelbagai jenis pisang - ada Pisang Tanduk, Pisang Abu atau Pisang Nipah, Pisang Emas, Pisang Rastali, Pisang Awak, Pisang Raja, Pisang Berangan, dan Pisang Nangka. 1500 pokok semuanya. Semua jenis-jenis pisang itu memang dihafal dan difahami tabiatnya. Bukan sahaja buah pisang dapat dijual, bahkan daun dan jantung pisang juga boleh dijual. Dia juga tahu yang mana daun pisang yang boleh digunakan dan yang mana daun pisang yang tidak boleh digunakan, yang mana jantung pisang yang boleh dimakan dan yang mana jantung pisang yang tidak boleh dimakan. Kalau tidak kenal, terambil jantung pisang yang salah, alamat kelat dan pahit rasanya.

 “Tuan Haji, sekarang ini musim penyakit Covid 19!” Cikgu Arsyad, anak muda yang menjadi guru di kampung itu menegur Tok Mat yang sedang tekun mengumpul pisang-pisang yang sudah siap disisir ke raga-raga besar untuk diambil oleh Fauzi yang menjadi peraih hasil kampung. Fauzi akan menjualnya di Pasar Tani. Tok Mat memisahkan raga-raga mengikut jenis pisang. Pisang yang sudah disisir bersikat-sikat akan dibungkus dengan surat khabar. Perdana Menteri telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan selama dua minggu dalam Televisyen bermula 14 Mac dan mungkin akan bersambung sehingga lepas Hari Raya Aidilfitri secara berfasa. Anaknya, Solehah dan Imran sempat pulang bercuti semester. Universiti tutup, kata mereka.

`“Kita kena duduk di rumah sahaja Tuan Haji. Hendak putuskan rantaian jangkitan itu!” Cikgu Arsyad menghentikan enjin motosikalnya. Dia berdiri jauh dari Tok Mat sebagai langkah berjaga-jaga. Biasanya, bila berjumpa, dia pasti menyalami Tok Mat sebagai seorang yang dihormati di kampung itu. Tetapi arahan untuk tidak bersalam, kena dipatuhi.

“Bahan tani ni kalau tidak dituai, dia membusuk. Sayang dan membazir. Lagipun Pak Cik mengadap pokok pisang je. Pokok pisang boleh kena Covid juga ke? Pekerja semua, Pak Cik sudah beri cuti. Cikgu ambillah pisang yang Cikgu hendak. Boleh makan dengan keluarga.” Tok Mat menunjuk deretan pisang yang sudah siap disisir. Cikgu Arsyad mengangguk-angguk sambil mengelus-ngelus janggutnya yang sejemput sambil membetulkan topeng mukanya. Hatinya girang, dapatlah petang ini keluarganya makan pisang goreng panas.

“Malam tadi Kak Peah dibawa ambulan ke hospital!” Cikgu Arsyad yang baharu berusia 30 tahun itu, mengambil pisang tanduk dan pisang emas yang sudah disisir oleh Tok Mat dan memasukkannya ke raga motosikal Honda C90nya. Cikgu Arsyad menghulurkan RM20.00 kepada Tok Mat. Tetapi segera ditolak oleh Tok Mat. Lagipun, sejak Perintah Kawalan Pergerakan ini, Mak Kiah, isterinya tidak lagi menjual pisang goreng di gerai depan rumah mereka. Banyak buah pisang yang tidak terjual. Itupun Tok Mat sudah banyak sedekah kepada jiran tetangga.

“Kak Peah sakit apa, Cikgu? Minggu lepas sihat je tolong Mak Kiah kamu goreng kerepek. Tapi dengar juga sesekali dia batuk dalam topeng muka dia. Mak Kiah kamu suruh balik berehat.” Tok Mat memandang ke arah langit yang sudah mula mendung.

“Aduh, bahaya tu Tuan Haji. Anak Kak Peah, Abang Fadzil baru balik tabligh. Takut terkena jangkitan Covid 19. Tuan Haji dan keluarga kena pergi hospital juga buat saringan.” Cikgu Arsyad segera menghidupkan enjin motosikalnya dan berlalu. Dia hanya mengangkat tangan kepada Tok Mat.

Tok Mat pun segera berkemas dan membawa raga yang penuh dengan pisang ke dalam motosikal roda tiganya. Baru sebentar tadi Fauzi menelefonnya tidak dapat mengambil pisang Tok Mat. Pasar Tani kena tutup, katanya. Mengangkut 5 buah raga pisang yang sarat dengan isi amat menyukarkan Tok Mat mengendalikan motosikal roda tiganya. Tok Mat tiada lori, sebab selama ini, Fauzi yang memasarkan pisang-pisangnya. Elok rezeki dibahagi-bahagikan agar semua menikmatinya, itulah prinsip hidup Tok Mat.

            “Banyaknya buah pisang ni. Nak buat apa ayah? Abang Fauzi, tak beli ke?” Imran mengangkat raga-raga yang masih penuh berisi pisang. Tok Mat melabuhkan punggungnya ke kerusi di kilang tempat Mak Kiah dan Solehah sedang sibuk menggoreng kerepek pisang sementara dua orang pekerja yang lain sibuk membungkus kerepek yang sudah sejuk. Dia mengipas-ngipas dadanya dengan topi kebunnya. Sesekali nafasnya turun naik. Tenaga tuanya sudah dirasai. Dengan usia 60 tahun, Tok Mat sudah sering kelelahan bila ke kebun. Nasib baik dia ada tiga orang pekerja yang rajin dan amanah melaksanakan tugas menguruskan kebun pisangnya. Sejak perintah kawalan pergerakan (PKP), pekerjanya dicutikan dengan bergaji. Namun bila dia perlukan mereka, Tok Mat akan menyuruh mereka datang membantunya di kebun.

“Tidak mengapa ayah. Bila pisang ni dah masak, Leha nak buat biskut, kuih, kek dan macam-macam lagi. Kita masih boleh jual di sekitar kampung ni. Jual secara pospun boleh! Lagipun Ramadhan dah nak tiba ni” Solehah membelek-belek pisang di raga yang sudah diturunkan oleh Imran. Tok Mat mengurut dadanya. Dia bersyukur memiliki anak-anak yang kreatif dan inovatif. Solehah memang rajin menolong Mak Kiah bila balik bercuti. Pelbagai resepi dicubanya. Tidak sia-sia dia mengambil jurusan sains pemakanan di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Solehah juga sedang menyiapkan kajian sarjana tahun akhirnya, mencipta produk makanan sihat untuk bayi. Dan dia memilih pisang sebagai bahan utama. Macam-macam jenis pisang dicubanya dan dicampur dengan beberapa bahan selamat untuk bayi agar tahan lama dan sedap dimakan. Pelbagai pes makanan bayi dibuat termasuk makanan bayi berbentuk biskut.  Pernah dia mencuba membuat pes pisang digabungkan dengan kurma. Rasanya sedap dan tahan seminggu dalam peti sejuk. Kini, dia memikirkan bagaimana untuk memastikan pes itu boleh dipasarkan dan tahan lebih lama. Pensyarahnya, Profesor Dr Mahmud mencadangkannya Pembungkusan Atmosfera Terubah Suai (MAP) untuk teknologi pembungkusan makanan sedia untuk dimakan. Makanan akan tahan 4 – 6 minggu.

“Musim PKP ni, Leha boleh siapkan ujikaji Leha di rumah dengan pisang-pisang ini. Nanti boleh minta bayi-bayi di kampung ini cuba rasa. Harap-harap mereka suka. Pisang ini berkhasiat, ayah, emak. Memudahkan sistem pencernaan terutama bayi.” Solehah membelek-belek pisang emas dan pisang berangan yang sudah agak ranum di atas meja. Peralatan pembungkusan akan dibantu oleh pensyarahnya kerana teknologi tersebut ada di makmal universitinya.

“Orang kampung ni, beri pisang lenyek je, Leha.” Mak Kiah meneruskan kerja-kerja menggoreng. Mukanya merah dan peluh sudah mengalir di dahinya yang sudah berkedut sambil membetulkan tudungnya yang senget. Tangannya banyak berparut hitam di sana sini kesan percikan minyak panas menggoreng kerepek dan pisang. Tetapi dia tidak kisah. Tok Mat masih sayang dan setia dengannya. Semasa mula-mula berkahwin, mereka sudah merancang pembangunan ekonomi keluarga mereka. Keputusan membuka kebun pisang dalam tanah pusaka arwah ibu bapa Tok Mat memang tepat. Tok Mat tidak bersekolah tinggi tetapi dia mahir dalam berkira-kira.

            Mak Kiah dan Tok Mat bersyukur dengan rezeki yang Allah kurniakan. Mereka juga tidak lupa menabung. Bagi mereka, simpanan mesti ada sebagai persiapan jika berlaku sebarang musibah. Mereka mengambil iktibar dari kisah Nabi Yusuf a.s yang menyimpan untuk menghadapi kemarau 7 tahun setelah menghadapi 7 tahun subur. Walau bagaimanapun, mereka tidak lupa untuk membayar 2.5% daripada zakat pendapatan dan 2.5% zakat simpanan di samping  bersedekah sebagai cara menyucikan pendapatan mereka. Duit simpanan dibuat akaun asing-asing. Satu untuk Tok Mat dan satu untuk Mak Kiah. Untuk kegunaan harian mereka membuka akaun khas dengan nama Tok Mat. Disisihkan juga simpanan untuk dua orang anaknya, Imran dan Solehah sejak mereka berdua lahir. Mereka hidup sederhana. Mereka sudah berjanji untuk tidak hidup mewah. Makan pakai sekadarnya. Latihan itu juga diberikan kepada anak-anaknya. Anak mereka Imran dan Solehah pula tidak perlu membuat pinjaman pelajaran. Alhamdulillah setakat ini mereka mampu membiayai pembelajaran mereka.

“Pisang lenyek sebenarnya lebih bagus mak, sebab belum dicampur dengan macam-macam. Tetapi di bandar tu, kadang susah nak dapat bekalan pisang atau ibu bapa mereka sibuk bekerja. Tidak sempat hendak memproses makanan untuk bayi mereka. Makanan segera yang berkhasiat inilah yang mereka cari.” Solehah menjelaskan sambil mengangkat kerepek pisang Tanduk yang sudah garing kekuningan dan mematikan api gas yang membara dari mesin penggoreng kerepek ciptaan Zull Design Autotronic, satu-satunya pencipta barangan elektronik bangsa Melayu yang sudah banyak mencipta peralatan untuk membantu peniaga-peniaga produk IKS. Mesin penggoreng itu boleh memuatkan sehingga 10 kilo pisang sekali goreng.

Imran pula membersihkan mesin penghiris kerepek yang dibeli dari pencipta yang sama. Kedua-dua mesin itu merupakan bantuan dari kerajaan negeri Selangor untuk peniaga-peniaga IKS.  Imran juga bercita-cita untuk mengikut jejak langkah orang yang hebat ini. Dia memilih bidang Robotic di UTM dan juga belajar secara hujung minggu bidang elektronik. Dia masih tahun 2, tetapi sudah memiliki visi dan misi hidupnya. Ke mana tidak tumpah kuah, kalau tidak ke nasi. Tok Mat dan Mak Kiah pula tidak menghalang semua cita-cita dan hasrat anak-anaknya.

 

Mak Kiah mengibas pakaiannya dan membuka Apron lalu menggantungnya di tiang di sudut kilang. Dia masuk ke dapur rumahnya dan membuatkan satu teko air kopi o kampung untuk keluarganya. Kek Pisang yang dibakar oleh Solehah malam tadi dipotong-potong untuk juadah minum petang keluarganya. Mak Kiah membawa juadah itu ke kilang di sebelah rumahnya dan diletakkan di atas meja sementara Solehah dan Imran mengemas dan membersihkan tempat kerja.  Angin petang sepoi-sepoi bahasa menyamankan. Hujan renyai-renyai mula turun.

 “Kita kena pergi hospital!” Tiba-tiba Tok Mat bersuara. Semua mata memandangnya. Mak Kiah yang sedang menuang kopi o hitam pekat ke dalam cawan, terhenti seketika. Dia duduk dan memandang tajam wajah Tok Mat. Wajah yang sudah berkedut dengan rambut yang sudah memutih. Itulah sifatnya. Jika suaminya mula bercakap, dia akan diam untuk mendengar, walau di hatinya meronta-ronta untuk mendengar cerita selanjutnya, sementelah suaminya amat berhati-hati jika berkata-kata. Imran dan Solehah segera menghentikan pekerjaan mereka dan turut duduk di kerusi untuk minum bersama. Pekerjanya, Eton, Mona dan Kak Ju juga turut duduk bersama di meja tersebut untuk menikmati minum petang sebelum pulang ke rumah.

 “Kak Peah dan keluarganya demam, batuk-batuk dan sakit kerongkong. Malam tadi ambulan dah bawa mereka pergi ke hospital.” Imran sedikit gugup mendengar cerita Tok Mat. Solehah mula resah. Mak Kiah masih terpinga-pinga. Dia memandang Eton dan Kak Ju. Mereka saling berpandangan sambil mengerutkan dahi. Mak Kiah teringat Kak Peah yang selalu membantunya menggoreng pisang. Memang sejak akhir-akhir ini, Kak Peah nampak tidak sihat. Sudah seminggu dia merehatkan Kak Peah, sejak sebelum PKP lagi. Suaminya, Pak Samad juga sudah uzur dan satu-satunya anak lelaki mereka pula selalu keluar kampung mengikuti gerakan tabligh.

            Hidup sebagai petani sejak muda bukanlah mudah. Memerlukan tulang empat kerat. Jika rajin adalah hasilnya, adalah bahagiannya untuk menghasilkan sumber pendapatan. Pak Samad tiada kebun, dia menghabiskan usia mudanya dengan mengambil upah mengait kelapa. Bila sudah uzur, dia tidak mampu bekerja lagi. Kakinya lumpuh setelah terhempap setandan buah kelapa yang meluncur dari galah kaitnya. Anak lelakinya Fadzil dihantar bersekolah tahfiz, tetapi tidak tamat dan bekerja membantu Tok Mat menguruskan kebun pisang. Sesekali dia akan mengikuti gerakan tabligh di Sri Petaling. Akhlaknya cukup baik dan menghormati orang tua. Sifat amanahnya juga menjadi harapan Tok Mat untuk menguruskan kebunnya.

Tok Mat beruntung kerana memiliki tanah pusaka. Dengan hasil pisang itulah, Tok Mat menyekolahkan anaknya Imran dan Solehah hingga masuk ke Universiti. Isterinya Mak Kiah pula, rajin mempelbagaikan hasil buah pisang. Setiap pagi selepas memasak untuk juadah sarapan dan tengahari, Mak Kiah akan menggoreng kerepek pisang. Pisang Tanduk, pisang Nangka dan pisang Abu amat sesuai dibuat kerepek. Beratus kilo kerepek pisang dihasilkan dengan bantuan Kak Peah, Eton, Kak Ju dan Mona yang mahu menambah pendapatan. Ada juga pekerjaan untuk orang kampungnya. Peraih-peraih akan datang bersama lori-lori mereka setiap minggu untuk mendapatkan tempahan masing-masing. Ramai peraih yang datang dari jauh, Kedah, Johor, Kelantan, Pahang dan sebagainya. Kerepek Mak Kiah terkenal di seluruh Malaysia.

             “Imran, Solehah, Kiah. Ayah nak keluarkan 1/3 dari simpanan kita untuk bersedekah kepada penduduk kampung. Apa pandangan kamu semua?” Tok Mat memandang wajah anak-anak dan isterinya sambil menghirup kopi hitam pekat kegemarannya. Tok Mat bimbang, ada keluarga di kampung itu yang kebuluran kerana tidak dapat keluar bekerja. Hidup sebagai petani yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Jika PKP ini berlanjutan, tentu kehidupan mereka semakin susah. Imran dan Solehah mengangguk. Mak Kiah tersenyum bangga. Ada juga bahagian keluarganya yang boleh diinfakkan untuk orang kampung. Eton, Kak Ju dan Mona mengangguk-angguk gembira. Mereka bangga mempunyai majikan yang pemurah. Selama ini, gaji mereka tidak pernah kurang, malah setiap tahun mereka akan diberi bonus. Ringan beban apabila anak-anak mula buka sekolah.

Tok Mat membacakan dua potong maksud hadis untuk tatapan keluarga dan pekerjanya petang itu. Rasulullah s.a.w telah bersabda, “Segeralah bersedekah, sesungguhnya musibah tidak dapat melintasi sedekah” (HR : at-Thobrani & Baihaqi) dan Dari Anas, ia berkata : Rasulullah s.a.w bersabda “ Sesungguhnya sedekah itu memadamkan kemarahan Tuhan dan mencegah kematian yang buruk.” (HR Thabrani, dia menghasankannya dan disahkan oleh Ibnu Hiban).

Keesokannya, pagi-pagi lagi Tok Mat sudah ke bank dan mengeluarkan sebanyak RM100 ribu dari simpanannya. Sekembalinya dari bank, setelah membayar 2.5% zakat simpanan kepada imam masjid, dia segera menyerahkan sedekahnya kepada orang kampung dengan bantuan Imran. Orang kampung yang menerima bantuan Tok Mat menangis-nangis hiba dan bersyukur. Ada yang sudah dua hari terputus bekalan wang kerana tidak bekerja. Sedekah Tok Mat melegakan ramai penduduk kampung. Semuanya mendoakan kesejahteraan Tok Mat sekeluarga.

 Selepas solat Zuhur berjemaah, dengan solat sunat taubat dan doa taubat yang agak panjang, Tok Mat membawa keluarganya ke hospital untuk membuat saringan Covid 19. Pada hari itu juga, dikhabarkan Pak Samad meninggal dunia kerana Covid 19 dan Kak Peah sedang sakit tenat. Anaknya Fadzil masih dalam kuarantin. Segala-galanya amat memberi kesan kepada penduduk kampung. Buat kali pertama orang kampung tidak dapat melaksanakan tugas Fardhu Kifayah kepada jenazah kerana segala-galanya diuruskan oleh pihak hospital termasuk urusan pengkebumiannya. Orang kampung juga turut berduyun-duyun membuat saringan terutama yang pernah berhubung dengan keluarga Kak Peah. Sesungguhnya kematian itu pasti, tetapi selagi ajal belum tiba, umat Islam wajib berusaha menyelamatkan nyawa mereka. Dan hari itu juga, Solat Jumaat di seluruh negara tidak boleh dilaksanakan. Ya Allah, semoga bencana penyakit ini akan menghapuskan dosa-dosa kami.






Posted by NOR RAUDAH HJ SIREN at 12:16 AM 0 comments
Older Posts Home
Subscribe to: Comments (Atom)

Cari apa di Taman ini sayang!

PUISI KASIH BONDA

Bila seorang bonda mendekati anaknya
Senyum mulusnya penuh kasih dan rindu
Suaranya penuh hikmat dan pesanan
Belaian tangannya adalah harapan dan doa
Pelukannya adalah kesyukuran pada amanah Allah

Bila seorang bonda mengungkap bicara
ajaran kebaikan jadi pilihan
ajaran jahat jadi sempadan
di hatinya sungai mengalir jernih dan dingin
mahu melihat anak-anak berjaya
menongkah arus merentas onak
menuju redha Ilahi

Bila seorang bonda menadah tangan
doanya hanya untuk anak tercinta
"Ya Allah, selamatkan anak-anakku dari kejahatan dunia"
"Ya Allah, bimbinglah anak-anakku menuju syurga-Mu"

Kasih bonda tidak bertepi
juga tidak bertali
kasihnya sejati

Anak-anak bonda
lihatlah wajah bonda
selagi masih boleh ditatap
kerana SUATU HARI
Rindu akan merentap
Bila bonda hanya dalam kenangan...

Senarai TIPS

  • ▼  2022 (5)
    • ▼  April (5)
      • TADABBUR AL-QURAN SECARA DALAM TALIAN
      • COVID 19 MENJENGOK DUNIA (CERPEN UMUM)
      • KEUTAMAAN ILMU AKHIRAT DI SAMPING ILMU DUNIA
      • TIKAR MENGKUANG NENEK (CERPEN KANAK-KANAK)
      • SENAPANG BEMBAN (CERPEN KANAK-KANAK)
  • ►  2013 (1)
    • ►  March (1)
  • ►  2012 (5)
    • ►  August (4)
    • ►  May (1)

Nak ilmu lain, singgah ke sini!

  • Institute Dr Raudah
    PELANCARAN BUKU ANTOLOGI CERPEN KANAK-KANAK DAN ANTOLOGI CERPEN SAUDAGAR KOPI
    5 months ago
  • taman-taman syurga
    MAKNA KEJAYAAN
    13 years ago
  • PENULIS DA'IE
    PENGENALAN PENULISAN DAKWAH
    13 years ago
  • Media Cetak Dakwah
    KULIAH 1: PENGENALAN PENERBITAN MEDIA CETAK
    16 years ago
  • TEKNIK PENULISAN
    KULIAH 10: KEBERKESANAN PENULISAN ILMIAH
    16 years ago
  • SUARAKU UNTUK DA'IEKU
    kuliah 11 Penerbitan Laman Web
    16 years ago
  • gengdakwah.info - Geng Dakwah PBJJ UKM Bangi Intake 2009/2010
  • ISU-ISU MEDIA SEMASA

Siapa singgah di taman ini...

About Me

My photo
NOR RAUDAH HJ SIREN
Lahir di Sabak Bernam, Selangor. Bersekolah di Sek. Keb. Batu 38, Sabak Bernam, Selangor dan menyambung alam menengah di Sekolah Agama Menengah Tinggi, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SAMTS), Batu 38, Sabak Bernam. Selepas STPM, meneruskan pengajian ke Universiti Malaya dalam bidang Media sehingga ke peringkat Doktor Falsafah. Kini, bertugas sebagai pensyarah kanan di Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Bidang pengajaran dan kajian ialah media dakwah dan penulisan. Kini sedang mencari ilmu-ilmu dakwah dengan mengikuti pengajian jarak jauh di Fakulti Pengajian Islam, UKM, Bangi untuk mendapatkan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Dakwah dan Kepimpinan)
View my complete profile

KELUARGA BAHAGIA

KELUARGA BAHAGIA
Indahnya dalam taman syurga ini..
[close]
Picture Window theme. Powered by Blogger.