-->
Taman-taman syurga

TIPS DARI BONDA

SELAMAT DATANG KE TAMAN SYURGA

Assalamualaikum anak-anak bonda yang dikasihi,
Hidup ini ibarat roda. sesekali kita di atas sesekali kita di bawah. Tetapi Allah SWT sentiasa memberi kita harapan dan cahaya serta peluang untuk memperbaiki diri. Walau bagaimanapun situasi kita, yakinlah bahawa JANJI Allah SWT itu benar. Jadi, jangan risau dan khuatir jika kita pernah terjerumus ke lembah kejahatan, peluang taubat terbuka luas, seluas langit yang tidak bertepi dan selagi kita tidak mensyirikkan Allah SWT, pasti syurga itu menjadi milik semua umat Islam. Di laman ini, bonda akan kemukakan tips-tips bagaimana mahu memperbaiki diri agar mampu menjadi insan yang sentiasa dalam redha Ilahi.

Monday, April 18, 2022

KEUTAMAAN ILMU AKHIRAT DI SAMPING ILMU DUNIA




Pendidikan merupakan aspek yang paling penting dalam kehidupan manusia. Melalui pendidikan, seseorang akan dapat mengubah corak pemikiran, corak kehidupan, kerjaya dan ketakwaan kepada Allah SWT yang Maha Pemberi Ilmu. Melalui ilmu juga, manusia akan terhindar dari kejahilan dan kebodohan serta memahami konsep dan peranannya sebagai manusia yang diciptakan oleh Allah SWT. Allah SWT telah berfirman dalam Surah al-Fathir ayat 28,

“Dan demikian pula di antara manusia, makhluk bergerak yang bernyawa, dan haiwan-haiwan ternakan yang bermacam-macam warna dan jenisnya. Di antara hamba-hamba Allah yang takut kepada-Nya hanyalah para ulama. Sungguh, Allah Maha Perkasa, Maha Pengampun.”

Maksud ulama dalam ayat di atas adalah mereka yang mengetahui dan memahami kebesaran Allah dan kekuasaan-Nya. Dengan ilmu, seseorang itu akan lebih memahami hakikat penciptaannya dan dapat melihat kuasa dan kebesaran Allah sebagai zat yang Maha Pencipta sehingga berasa takut untuk melanggar perintah-Nya.

Islam juga telah mengangkat darjat orang berilmu sehingga dibezakan antara orang berilmu dengan yang tidak berilmu sebagaimana disebut dalam Surah al-Mujadalah ayat 58, Allah SWT. berfirman,

“Wahai orang yang beriman! Apabila dikatakan kepadamu, “Berilah kelapangan di dalam majlis-majlis,” maka lapangkanlah, nescaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan, “Berdirilah kamu,” maka berdirilah, nescaya Allah akan mengangkat (darjat) orang yang beriman di antara kamu dan orang yang diberi ilmu beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui terhadap apa yang kamu kerjakan.”

Ayat tersebut merupakan janji Allah SWT terhadap orang yang berilmu untuk meninggikan darjat orang yang beriman dan orang yang berilmu. Darjat orang yang berilmu akan terangkat, sama ada di hadapan Allah SWT mahupun di mata manusia. Malah dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim menyebut, dari Mu’awiyah, Rasulullah SAW. bersabda :

“Barang siapa yang Allah kehendaki mendapatkan semua kebaikan, nescaya Allah akan memahamkan dia tentang ilmu agama.”

              Kesemua dalil yang dikemukakan ini berkaitan dengan ilmu agama. Lantaran itu, ilmu agama merupakan ilmu yang utama yang perlu didahulukan berbanding ilmu-ilmu yang lain. Namun, adakah kita sebagai umat Islam hanya perlu menekankan ilmu agama dan mengkesampingkan ilmu-ilmu duniawi?

              Ilmu agama adalah ilmu yang membolehkan kita memperolehi kehidupan yang baik di akhirat kelak. Ia merupakan ilmu yang menjadi bekalan untuk dibawa ke akhirat sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, Dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda,

“Jika seseorang meninggal dunia maka terputuslah segala amalnya, kecuali tiga hal. Sedekah jariyah, ilmu yang bermanfaat dan do’a anak yang soleh atau solehah.” (HR. Muslim)

              Namun, bagi kehidupan di dunia, ilmu keduniaan juga perlu dipelajari agar manusia mampu menyelesaikan permasalahan dunia seperti perkara berkaitan dengan pentadbiran, sumber manusia, geografi, ilmu sains, matematik, ilmu bahasa, kejuruteraan, ilmu perekaan, binaan, perubatan, astronomi, ilmu pendidikan dan sebagainya. Lalu, bagaimana ada yang berpendapat ilmu dunia itu tidak penting untuk anak-anak mereka sehingga meninggalkan terus ilmu dunia?  Apakah mempelajari ilmu-ilmu tersebut menjadi tidak berpahala atau perbuatan sia-sia?

              Islam melihat ilmu dunia sebagai fardhu kifayah yang perlu dipelajari bagi kemudahan manusia meneruskan kehidupan di dunia ini. Hal ini kerana ilmu itu adalah ilmu yang amat diperlukan oleh manusia. Jika tiada yang mempelajari ilmu perubatan, bagaimana manusia mahu menjaga kesihatan dan mengatasi masalah kesihatan mereka? Jika tiada ilmu perniagaan, bagaimana manusia mahu melebarkan perniagaan di muka bumi ini dengan jayanya bagi membekalkan barang-barang keperluan manusia? Jika tiada ilmu kejuruteraan, bagaimana manusia mahu membina bangunan-bangunan untuk berteduh dan jalan-jalan yang selesa? Siapa yang tidak kenal Ibnu Sina, seorang ulama tersohor hingga kini, tetapi pada masa yang sama memiliki ilmu perubatan yang tinggi sehingga ilmu perubatannya turut dijadikan rujukan di dunia Barat.

              Oleh itu, bagi ibu bapa yang memilih untuk anaknya bersekolah yang hanya memfokus dari aspek keagamaan bukanlah suatu kesalahan andainya tidak menolak ilmu dunia kepada anak-anak mereka. Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Qasas ayat 77,

Dan carilah apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) di negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak akan menyukai orang yang berbuat kerosakan. 

Ayat tersebut amat jelas menerangkan bahawa keperluan umat Muslim menumpukan kebahagiaan di akhirat, walaupun begitu kita juga tidak boleh melupakan atau mengabaikan begitu saja kebahagiaan di dunia. Hal ini kerana dengan ilmu dunia, manusia akan mampu mengurus dunia dengan lebih baik dan mampu mencari jalan terhadap kerosakan yang berlaku di muka bumi ini hasil tangan manusia sendiri.

Kesimpulannya, ilmu akhirat dan ilmu dunia kedua-duanya sama penting dan saling diperlukan dalam meneruskan kehidupan di dunia dan di akhirat. Diperlukan di dunia kerana di situ kita mampu meneruskan kelangsungan hidup agar keselesaan dan kebahagiaan kehidupan di dunia memudahkan manusia mengumpul bekalan untuk kehidupan abadi di akhirat kelak.

Posted by NOR RAUDAH HJ SIREN at 12:11 AM

No comments:

Post a Comment

Newer Post Older Post Home
Subscribe to: Post Comments (Atom)

Cari apa di Taman ini sayang!

PUISI KASIH BONDA

Bila seorang bonda mendekati anaknya
Senyum mulusnya penuh kasih dan rindu
Suaranya penuh hikmat dan pesanan
Belaian tangannya adalah harapan dan doa
Pelukannya adalah kesyukuran pada amanah Allah

Bila seorang bonda mengungkap bicara
ajaran kebaikan jadi pilihan
ajaran jahat jadi sempadan
di hatinya sungai mengalir jernih dan dingin
mahu melihat anak-anak berjaya
menongkah arus merentas onak
menuju redha Ilahi

Bila seorang bonda menadah tangan
doanya hanya untuk anak tercinta
"Ya Allah, selamatkan anak-anakku dari kejahatan dunia"
"Ya Allah, bimbinglah anak-anakku menuju syurga-Mu"

Kasih bonda tidak bertepi
juga tidak bertali
kasihnya sejati

Anak-anak bonda
lihatlah wajah bonda
selagi masih boleh ditatap
kerana SUATU HARI
Rindu akan merentap
Bila bonda hanya dalam kenangan...

Senarai TIPS

  • ▼  2022 (5)
    • ▼  April (5)
      • TADABBUR AL-QURAN SECARA DALAM TALIAN
      • COVID 19 MENJENGOK DUNIA (CERPEN UMUM)
      • KEUTAMAAN ILMU AKHIRAT DI SAMPING ILMU DUNIA
      • TIKAR MENGKUANG NENEK (CERPEN KANAK-KANAK)
      • SENAPANG BEMBAN (CERPEN KANAK-KANAK)
  • ►  2013 (1)
    • ►  March (1)
  • ►  2012 (5)
    • ►  August (4)
    • ►  May (1)

Nak ilmu lain, singgah ke sini!

  • Institute Dr Raudah
    PELANCARAN BUKU ANTOLOGI CERPEN KANAK-KANAK DAN ANTOLOGI CERPEN SAUDAGAR KOPI
    6 months ago
  • taman-taman syurga
    MAKNA KEJAYAAN
    13 years ago
  • PENULIS DA'IE
    PENGENALAN PENULISAN DAKWAH
    13 years ago
  • Media Cetak Dakwah
    KULIAH 1: PENGENALAN PENERBITAN MEDIA CETAK
    16 years ago
  • TEKNIK PENULISAN
    KULIAH 10: KEBERKESANAN PENULISAN ILMIAH
    16 years ago
  • SUARAKU UNTUK DA'IEKU
    kuliah 11 Penerbitan Laman Web
    17 years ago
  • gengdakwah.info - Geng Dakwah PBJJ UKM Bangi Intake 2009/2010
  • ISU-ISU MEDIA SEMASA

Siapa singgah di taman ini...

About Me

My photo
NOR RAUDAH HJ SIREN
Lahir di Sabak Bernam, Selangor. Bersekolah di Sek. Keb. Batu 38, Sabak Bernam, Selangor dan menyambung alam menengah di Sekolah Agama Menengah Tinggi, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SAMTS), Batu 38, Sabak Bernam. Selepas STPM, meneruskan pengajian ke Universiti Malaya dalam bidang Media sehingga ke peringkat Doktor Falsafah. Kini, bertugas sebagai pensyarah kanan di Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Bidang pengajaran dan kajian ialah media dakwah dan penulisan. Kini sedang mencari ilmu-ilmu dakwah dengan mengikuti pengajian jarak jauh di Fakulti Pengajian Islam, UKM, Bangi untuk mendapatkan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Dakwah dan Kepimpinan)
View my complete profile

KELUARGA BAHAGIA

KELUARGA BAHAGIA
Indahnya dalam taman syurga ini..
[close]
Picture Window theme. Powered by Blogger.