-->
Taman-taman syurga

TIPS DARI BONDA

SELAMAT DATANG KE TAMAN SYURGA

Assalamualaikum anak-anak bonda yang dikasihi,
Hidup ini ibarat roda. sesekali kita di atas sesekali kita di bawah. Tetapi Allah SWT sentiasa memberi kita harapan dan cahaya serta peluang untuk memperbaiki diri. Walau bagaimanapun situasi kita, yakinlah bahawa JANJI Allah SWT itu benar. Jadi, jangan risau dan khuatir jika kita pernah terjerumus ke lembah kejahatan, peluang taubat terbuka luas, seluas langit yang tidak bertepi dan selagi kita tidak mensyirikkan Allah SWT, pasti syurga itu menjadi milik semua umat Islam. Di laman ini, bonda akan kemukakan tips-tips bagaimana mahu memperbaiki diri agar mampu menjadi insan yang sentiasa dalam redha Ilahi.

Wednesday, August 1, 2012

PUASAKAH KITA HARI INI?



Assalamualaikum anak-anak bonda yang manis...
Selamat berpuasa di bulan Ramadhan yang penuh barakah ini. Alhamdulillah, usia kita dipanjangkan oleh Allah untuk bertemu dengan bulan mulia ini. Bonda pasti semua taat dengan perintah Allah SWT ini, anak-anak yang masih kecilpun ada yang berusaha belajar untuk berpuasa. Seronok juga belajar berpuasa ni. Macam-macam ragam ada. Ada yang minum air paip dalam bilik air, ada yang puasa sekerat hari campur sekerat hari esoknya untuk dapat satu hari puasa. Ada yang puasa kerana ganjaran sehari dapat RM1.00 dan seribu macam karenah anak-anak. Itulah namanya pembelajaran yang diajar oleh Islam agar dilakukan secara berperingkat-peringkat.
Tetapi anak-anak bonda semua, sejauhmanakah puasa kita sempurna atau sekadar menahan diri dari lapar dan dahaga?
Cuba koreksi diri...
Semasa berpuasa, berapa kali baca al-Quran atau berzikir mengingati Allah dan Rasulullah?
Semasa berpuasa, berapa kali kita mengutuk dan mengumpat orang lain?
Semasa berpuasa, berapa kali kita menahan pandangan yang menjolok mata?
Semasa berpuasa, sudahkan kita berdoa di saat doa dimakbulkan?
Semasa berpuasa, berapa ramai yang bersedekah kepada orang miskin?
Semasa berbuka, sempatkah kita baca doa berbuka dan doa makan?
Semasa berbuka, berapa jenis makanan di atas meja?
Semasa berbuka, berapa kilogram makanan yang terbuang?
Semasa berbuka, secepat mana kita menunaikan fardhu maghrib yang pendek itu?
Semasa berbuka, berapa ramai yang mengingati rakan-rakan yang sedang kebuluran di luar sana?
Selepas berbuka, berapa ramai berduyun-duyun menunaikan sunat terawih secara tetap di masjid dan surau-surau?
Selepas berbuka, berapa ramai yang bersyukur dengan rezeki pada hari itu?
Selepas berbuka, berapa ramai berterima kasih dengan ibu yang menyediakan juadah?
Selepas berbuka, berapa ramai yang menunaikan solat sunat sepertiga malam?
Anak-anak,
Selepas bulan puasa, semua peluang itu akan hilang dan terpaksa menunggu di tahun hadapan jika usia masih panjang. Tentu kerugian akan menjadi milik kita jika kita lepaskan semua peluang beribadat di bulan puasa. Bulan yang diberkati dan diberi ganjaran berganda berbanding bulan yang lain. Rasulullah SAW telah bersabda, yang maksudnya: "Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla berkata: "Melainkan puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku.” Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan; kegembiraan semasa berbuka dan kegembiraan semasa menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau Musk.” (
Riwayat Bukhari & Muslim)

Lihatlah betapa besarnya janji Allah kepada orang yang berpuasa. Oleh itu anak-anak, jom kita berpuasa mulai hari ini dengan sebenar-benar puasa. Puasa zahiriah dan batiniah. Puasa yang boleh menyucikan diri dari dosa dan menjauhkan diri dari amalan buruk. Jadikan bulan mulia ini sebagai jalan untuk menuju TAMAN SYURGA-NYA...

Posted by NOR RAUDAH HJ SIREN at 2:13 AM

No comments:

Post a Comment

Newer Post Older Post Home
Subscribe to: Post Comments (Atom)

Cari apa di Taman ini sayang!

PUISI KASIH BONDA

Bila seorang bonda mendekati anaknya
Senyum mulusnya penuh kasih dan rindu
Suaranya penuh hikmat dan pesanan
Belaian tangannya adalah harapan dan doa
Pelukannya adalah kesyukuran pada amanah Allah

Bila seorang bonda mengungkap bicara
ajaran kebaikan jadi pilihan
ajaran jahat jadi sempadan
di hatinya sungai mengalir jernih dan dingin
mahu melihat anak-anak berjaya
menongkah arus merentas onak
menuju redha Ilahi

Bila seorang bonda menadah tangan
doanya hanya untuk anak tercinta
"Ya Allah, selamatkan anak-anakku dari kejahatan dunia"
"Ya Allah, bimbinglah anak-anakku menuju syurga-Mu"

Kasih bonda tidak bertepi
juga tidak bertali
kasihnya sejati

Anak-anak bonda
lihatlah wajah bonda
selagi masih boleh ditatap
kerana SUATU HARI
Rindu akan merentap
Bila bonda hanya dalam kenangan...

Senarai TIPS

  • ►  2022 (5)
    • ►  April (5)
  • ►  2013 (1)
    • ►  March (1)
  • ▼  2012 (5)
    • ▼  August (4)
      • SELAMAT HARI RAYA
      • BERATNYA NAK JADI PEMAAF
      • PUASAKAH KITA HARI INI?
      • HARI INI SUDAH SENYUM?
    • ►  May (1)

Nak ilmu lain, singgah ke sini!

  • Institute Dr Raudah
    PELANCARAN BUKU ANTOLOGI CERPEN KANAK-KANAK DAN ANTOLOGI CERPEN SAUDAGAR KOPI
    5 months ago
  • taman-taman syurga
    MAKNA KEJAYAAN
    13 years ago
  • PENULIS DA'IE
    PENGENALAN PENULISAN DAKWAH
    13 years ago
  • Media Cetak Dakwah
    KULIAH 1: PENGENALAN PENERBITAN MEDIA CETAK
    16 years ago
  • TEKNIK PENULISAN
    KULIAH 10: KEBERKESANAN PENULISAN ILMIAH
    16 years ago
  • SUARAKU UNTUK DA'IEKU
    kuliah 11 Penerbitan Laman Web
    16 years ago
  • gengdakwah.info - Geng Dakwah PBJJ UKM Bangi Intake 2009/2010
  • ISU-ISU MEDIA SEMASA

Siapa singgah di taman ini...

About Me

My photo
NOR RAUDAH HJ SIREN
Lahir di Sabak Bernam, Selangor. Bersekolah di Sek. Keb. Batu 38, Sabak Bernam, Selangor dan menyambung alam menengah di Sekolah Agama Menengah Tinggi, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SAMTS), Batu 38, Sabak Bernam. Selepas STPM, meneruskan pengajian ke Universiti Malaya dalam bidang Media sehingga ke peringkat Doktor Falsafah. Kini, bertugas sebagai pensyarah kanan di Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Bidang pengajaran dan kajian ialah media dakwah dan penulisan. Kini sedang mencari ilmu-ilmu dakwah dengan mengikuti pengajian jarak jauh di Fakulti Pengajian Islam, UKM, Bangi untuk mendapatkan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Dakwah dan Kepimpinan)
View my complete profile

KELUARGA BAHAGIA

KELUARGA BAHAGIA
Indahnya dalam taman syurga ini..
[close]
Picture Window theme. Powered by Blogger.