-->
Taman-taman syurga

TIPS DARI BONDA

SELAMAT DATANG KE TAMAN SYURGA

Assalamualaikum anak-anak bonda yang dikasihi,
Hidup ini ibarat roda. sesekali kita di atas sesekali kita di bawah. Tetapi Allah SWT sentiasa memberi kita harapan dan cahaya serta peluang untuk memperbaiki diri. Walau bagaimanapun situasi kita, yakinlah bahawa JANJI Allah SWT itu benar. Jadi, jangan risau dan khuatir jika kita pernah terjerumus ke lembah kejahatan, peluang taubat terbuka luas, seluas langit yang tidak bertepi dan selagi kita tidak mensyirikkan Allah SWT, pasti syurga itu menjadi milik semua umat Islam. Di laman ini, bonda akan kemukakan tips-tips bagaimana mahu memperbaiki diri agar mampu menjadi insan yang sentiasa dalam redha Ilahi.

Monday, August 13, 2012

SELAMAT HARI RAYA


Lagu hari raya sudah berkumandang di sana-sini. lagu yang sering mengusik jiwa sang perantau. Lagu yang juga mengusik hati seorang tua yang pastinya menanti anak cucu pulang ke desa...... Lagu Anuar dan Ellina memanggil-manggil anak muda untuk pulang ke desa merasai kuih muih dan rendang hasil tangan ibu kesayangan. Tetapi jika ibu itu sudah dhaif dan lemah...???
Anak-anak bonda yang dikasihi,
Jika dulu tangan tua itu sanggup bangun dini hari untuk menyediakan juadah hari raya tetapi kini tangan tua itu hanya mampu mengangkat tangan berdoa agar anak cucu tetap pulang meraikan hari raya, hari yang penuh syahdu dan penuh dengan kerinduan. Oleh itu anak-anak bonda, jangan lupa menjadikan rancangan pulang ke desa adalah agenda utama untuk menjengok nenda dan atok yang semakin dimamah usia.
Nyamuk? Mandi perigi? Lumpur? Tidur atas lantai?
Ya, anak-anak bonda. Itulah kehidupan bonda dahulu. Susah tetapi penuh dengan keriangan dan kasih sayang. Kedinginan malam menjadikan pelukan nenda begitu menghangatkan. Gebar yang sudah lusuh tetap menjadi teman setia. Mandi perigi yang dingin menyucuk daging di subuh hari menjadikan kami anak desa yang kental dan lasak. Bersedia untuk menghadapi cabaran di siang hari. Lumpur dan selut adalah permainan harian kami. Itu sebab kami cekal dan tabah. kehidupan kami penuh dengan kepayahan yang meriangkan. Itulah kehidupan kami. Cuba rasai kehidupan itu untuk sehari dua anak-anak bonda.
Anak-anak bonda,
Cuba lihat wajah nenda yang sudah dimamah usia itu. Bonda juga akan menghadapi situasi sedemikian. Anakda semua juga akan menghadapi situasi sedemikian. Kehidupan ini ibarat roda ia akan terus berpusing dan berulang. Oleh itu, hargai nenda kita selagi mereka masih ada. Cium tangan mereka dan kucup pipi mereka. Ucapkan dengan lembut, "Maaf zahir batin nek, atok.." ukirkan senyuman mesra dan manja. Pasti nenda dan atok akan riang dan gembira. Tenang dan senang jiwa mereka. Doa tentu akan mengiringi anak-anak bonda semua. Doa orang tua itu makbul tau kerana Allah SWT telah berfirman sebagai janji, "Berdoalah kepada-Ku, nescaya Aku kabulkan doamu." Anak-anak bonda juga jangan lupa doakan untuk bonda, ayahanda, atok dan nenda juga.
Anak-anak bonda,
Jangan bezakan kampung ayahanda dan bonda. Kampung ayahanda mungkin sudah moden dan senang, selesa anakda merayakan hari mulia nanti. Tetapi bukankah tahun ini giliran ke kampung bonda. Walau hidup miskin, itulah kehidupan dan dunia bonda yang anakda kena turut sama menghormati kehidupan bonda sebagaimana anakda menghormati kehidupan ayahanda. Tak pe duit raya tak dapat banyak, air hanya secangkir air sirap kurang manis atau kuih hanya baulu keras. Rasailah kepayahan orang lain agar kita menjadi rendah diri. Bukankah kita sudah berpuasa sebulan untuk merasai kesusahan orang fakir dan miskin. Apa salahnya kita pula yang menghulurkan duit raya kepada anak-anak desa di sana. Mudah-mudahan hidup kita lebih diberkati. Bukankah "tangan yang memberi itu lebih mulia".
Baiklah anak-anak bonda, Selamat hari raya diucapkan. Hargai dan rayakan dengan penuh kesederhanaan kerana hari raya adalah hari kemenangan umat Islam berjuang menentang hawa nafsu sepanjang bulan ramadhan. Jangan lupa bertakbir di pagi raya. Rasai Kekuasaan dan Kebesaran Allah SWT yang memberi kita nyawa dan kehidupan... Maaf Zahir Batin.

Posted by NOR RAUDAH HJ SIREN at 8:23 PM

1 comment:

  1. MULTIMEDIAINDAKWAHMay 25, 2017 at 12:07 AM

    Assalamualaikum Dr, harap dapat fullmark

    ReplyDelete
    Replies
      Reply
Add comment
Load more...

Newer Post Older Post Home
Subscribe to: Post Comments (Atom)

Cari apa di Taman ini sayang!

PUISI KASIH BONDA

Bila seorang bonda mendekati anaknya
Senyum mulusnya penuh kasih dan rindu
Suaranya penuh hikmat dan pesanan
Belaian tangannya adalah harapan dan doa
Pelukannya adalah kesyukuran pada amanah Allah

Bila seorang bonda mengungkap bicara
ajaran kebaikan jadi pilihan
ajaran jahat jadi sempadan
di hatinya sungai mengalir jernih dan dingin
mahu melihat anak-anak berjaya
menongkah arus merentas onak
menuju redha Ilahi

Bila seorang bonda menadah tangan
doanya hanya untuk anak tercinta
"Ya Allah, selamatkan anak-anakku dari kejahatan dunia"
"Ya Allah, bimbinglah anak-anakku menuju syurga-Mu"

Kasih bonda tidak bertepi
juga tidak bertali
kasihnya sejati

Anak-anak bonda
lihatlah wajah bonda
selagi masih boleh ditatap
kerana SUATU HARI
Rindu akan merentap
Bila bonda hanya dalam kenangan...

Senarai TIPS

  • ►  2022 (5)
    • ►  April (5)
  • ►  2013 (1)
    • ►  March (1)
  • ▼  2012 (5)
    • ▼  August (4)
      • SELAMAT HARI RAYA
      • BERATNYA NAK JADI PEMAAF
      • PUASAKAH KITA HARI INI?
      • HARI INI SUDAH SENYUM?
    • ►  May (1)

Nak ilmu lain, singgah ke sini!

  • Institute Dr Raudah
    PELANCARAN BUKU ANTOLOGI CERPEN KANAK-KANAK DAN ANTOLOGI CERPEN SAUDAGAR KOPI
    5 months ago
  • taman-taman syurga
    MAKNA KEJAYAAN
    13 years ago
  • PENULIS DA'IE
    PENGENALAN PENULISAN DAKWAH
    13 years ago
  • Media Cetak Dakwah
    KULIAH 1: PENGENALAN PENERBITAN MEDIA CETAK
    16 years ago
  • TEKNIK PENULISAN
    KULIAH 10: KEBERKESANAN PENULISAN ILMIAH
    16 years ago
  • SUARAKU UNTUK DA'IEKU
    kuliah 11 Penerbitan Laman Web
    16 years ago
  • gengdakwah.info - Geng Dakwah PBJJ UKM Bangi Intake 2009/2010
  • ISU-ISU MEDIA SEMASA

Siapa singgah di taman ini...

About Me

My photo
NOR RAUDAH HJ SIREN
Lahir di Sabak Bernam, Selangor. Bersekolah di Sek. Keb. Batu 38, Sabak Bernam, Selangor dan menyambung alam menengah di Sekolah Agama Menengah Tinggi, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SAMTS), Batu 38, Sabak Bernam. Selepas STPM, meneruskan pengajian ke Universiti Malaya dalam bidang Media sehingga ke peringkat Doktor Falsafah. Kini, bertugas sebagai pensyarah kanan di Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Bidang pengajaran dan kajian ialah media dakwah dan penulisan. Kini sedang mencari ilmu-ilmu dakwah dengan mengikuti pengajian jarak jauh di Fakulti Pengajian Islam, UKM, Bangi untuk mendapatkan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Dakwah dan Kepimpinan)
View my complete profile

KELUARGA BAHAGIA

KELUARGA BAHAGIA
Indahnya dalam taman syurga ini..
[close]
Picture Window theme. Powered by Blogger.